SENI dan sastera adalah bentuk-bentuk ekspresi. Lukisan, tarian, lagu dan novel adalah tergolong sebagai ekspresi. Sebuah filem juga adalah suatu bentuk ekspresi.

Apabila seseorang menghasilkan sesuatu atau berkata-kata, orang itu mengamalkan haknya untuk bersuara dan berekspresi.

Sudah tentu, hak bersuara dan berekspresi ini tidaklah mutlak. Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa membenarkan sekatan ke atas hak ini, tetapi ia harus melalui undang-undang dan hanya sekiranya sekatan itu perlu.

Perlembagaan Persekutuan kita juga membenarkan sekatan dikenakan, tetapi sekatan itu mesti melalui undang-undang dan haruslah berkadar dengan matlamat sekatan tersebut.

Maka, melainkan terdapatnya undang-undang yang digubal dan matlamat sekatan tersebut dibenarkan oleh undang-undang dan adalah berkadar, hak anda tidak boleh disekat dengan sewenang-wenangnya.

Undang-undang untuk menayang filem di Malaysia adalah Akta Penapisan Filem 2002. Menurut akta tersebut, tiada seorang pun boleh ada dalam milikannya atau dalam jagaannya atau di bawah kawalannya, atau menyebarkan, menayangkan, mengedarkan, mempamerkan, membuat, mengeluarkan, menjual atau menyewakan, apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Sesiapa yang melanggar undang-undang ini boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya sekali.

Seorang aktivis, Lena Hendry, baru-baru ini telah didapati bersalah dan didenda RM10,000 kerana menayangkan filem dokumentari No Fire Zone: The Killing Fields of Sri tanpa kelulusan LPF. Dokumentari tersebut tidak ada kena-mengena dengan Malaysia, tetapi mengenai apa yang berlaku di Sri Lanka. Tidak ada risiko ketenteraman awam langsung di sini.

Rencana ini tidak mempersoalkan niat baik anggota-anggota LPF. Penulis percaya mereka menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Tetapi persoalannya adalah, bolehkah kita benarkan suatu badan kerajaan menentukan sama ada boleh mengamalkan hak bersuara dan berekspresi, sebelum kita dibenarkan untuk mengamalkannya?

Bukankah ini akan menjadikan hak kita tidak lebih daripada suatu ilusi? Adakah dengan mewujudkan suatu badan yang ‘menghalalkan’ sesuatu filem sebelum ia boleh ditayangkan, berkadar dengan matlamat akta tersebut?

Undang-undang yang menjadikan kebenaran kerajaan sebagai suatu prasyarat untuk mengamalkan hak yang sudah termaktub wajar dicabar sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan undang-undang seperti ini, kerajaan boleh menentukan filem mana ‘sesuai’ untuk ditonton umum. Pada masa yang sama, kerajaan juga boleh mengharamkan atau menapis filem yang ia tidak suka atau bertentangan dengan kepentingannya.

Kuasa untuk menapis filem boleh disalahgunakan. Daripada menggunakan penapisan, penulis mencadangkan supaya penekanan diberikan kepada klasifikasi filem seperti ‘U’, ‘P13’ dan ‘18’. LPF sudah pun mengeluarkan klasifikasi filem mengikut kesesuaian ia ditayangkan di panggung. Dengan menggunakan klasifikasi ini, keperluan untuk menapis filem boleh dielakkan.

Untuk filem-filem yang lucah atau pornografi, sememangnya terdapat peruntukan di bawah akta tersebut untuk menyekat filem-filem seperti ini. Bagaimana pula filem yang bukan lucah, tetapi pada masa yang sama terdapat keperluan untuk campur tangan kerajaan? Contohnya, filem yang dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap orang lain?

Sekiranya terdapat keperluan untuk kuasa terhad untuk menyekat filem-filem seperti ini, kuasa ini perlu digariskan dengan jelas. Kuasa untuk menyekat haruslah untuk suatu alasan yang jelas, bukannya kuasa menyeluruh untuk menyekat mana-mana filem sekali pun. Ia juga mesti boleh disemak oleh mahkamah.

Akta Penapisan Filem yang sedia ada wajar disemak semula untuk mengimbangi di antara membenarkan kebebasan dan hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat, serta melindungi hak dan kebebasan orang lain dan pada masa sama menjaga keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.