BARU-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi BN telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

 Menurut beliau, RUU 355 akan kekal menjadi rang undang-undang persendirian dan bukannya suatu rang undang-undang yang dibawa oleh kerajaan.

Ini bertentangan dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi beberapa minggu lepas bahawa kerajaan akan mengambil alih RUU 355 daripada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini bermakna, RUU 355 itu tidak mungkin dapat dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang selagi tidak diberi laluan oleh kerajaan dan terpulang kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat. Pengumuman perdana menteri juga bermakna bahawa secara natijahnya, BN tidak akan menyokong RUU 355 tersebut.

RUU 355 yang ingin dibentangkan oleh Abdul Hadi pada Mei 2016, mencadangkan supaya mahkamah syariah dibenarkan untuk mengenakan apa-apa jenis hukuman untuk kesalahan-kesalahan syariah, kecuali hukuman mati.

Namun demikian, RUU 355 yang ingin dibentangkan pada akhir tahun lepas pula berbeza rupanya; yang dicadangkan adalah untuk meningkatkan had hukuman mahkamah syariah kepada 30 tahun penjara, RM100,000 denda dan 100 sebatan rotan.  

Abdul Hadi masih belum memberi penjelasan di dalam Dewan Rakyat mengenai RUU persendirian tersebut, kerana dua kali diminta tangguh. Dengan perkembangan terbaru ini, tidak pasti sama ada Ahli Parlimen Marang akan dapat peluang untuk memberi penjelasan.

Walaupun demikian, perbincangan dan debat tentang RUU 355 telah lama berlangsung melalui rencana, ceramah dan perhimpunan.

Ramai yang telah memberi pandangan mereka tentang RUU 355, ada menyokong, ada yang menentang, dan ada pula yang merizabkan ulasan buat masa ini.

Perbincangan dan debat ini sewajarnya diraikan. Inilah erti sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; rakyat bebas untuk memberi pandangan dan ulasan tentang undang-undang yang dicadangkan.

Malang sekali, ada yang cuba menutup ruang perbincangan dan menghalang sesetengah panda-ngan.

Yang menyokong RUU 355 mengatakan bahawa ia adalah ‘kehendak umat Islam di Malaysia’, dan apa-apa tentangan atau bantahan terhadap RUU tersebut digambarkan sebagai tentangan atau bantahan terhadap Islam dan penganutnya. Mereka berkata, orang bukan Islam tidak patut campur tangan dalam hal-hal berkaitan dengan Islam dan orang Islam pula wajib menyokong RUU 355.

Mereka lupa, bahawa untuk menjadi undang-undang, mana-mana rang undang-undang perlu melalui proses perundangan. Ia mesti diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, mendapat perkenan diraja, diwartakan dan akhirnya tarikh kuat kuasa ditentukan. Barulah undang-undang tersebut beroperasi.

Dalam proses ini, ia akan dibahaskan oleh ahli parlimen dan mesti diluluskan oleh ahli-ahli parlimen; tidak kira bangsa mahupun agama.

Tidak ada pengecualian bagi wakil rakyat bukan Islam dalam perbahasan mengenai undang-undang syariah, contohnya. Dan wakil rakyat Muslim sekalipun bukan hanya mewakili pengundi yang beragama Islam.

RUU 355 pada asasnya hanyalah sebuah undang-undang yang meningkatkan bidang kuasa hukuman bagi suatu jenis mahkamah. Tidak menyokong RUU 355 bukan bermakna menentang Islam, atau menyebabkan terpesongnya akidah.

Sekiranya RUU 355 dibentangkan, ia akan membawa kesan yang luas. Maka perbahasan, perbincangan dan kupasan mengenai RUU 355 ini harus diraikan dan digalakkan, selari dengan kerangka perundangan negara ini dan jaminan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Mereka yang menyokong berhak untuk menyokong. Samalah juga mereka yang menentang; hak mereka juga dijamin. Jangan dibungkam diskusi tentang rang undang-undang ini.