MENTARI sedang bersinar terik dari atas kepala, dan perut anda sedang berkeroncong, tekak anda kehausan. Jam baru menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Anda sedang berpuasa. Anda masih punya beberapa jam lagi sehingga tiba waktu berbuka. 

Maka melintaslah seorang insan bukan Islam di hadapan anda, menikmati satu tin minuman kola sejuk kegemaran anda. Dia kelihatan asyik betul menikmati minuman itu. Anda dapat bayangkan sensasi minuman sejuk itu mengalir di tekak dengan segala kebaikan kafein yang mengundang kencing manis. Anda lantas meradang. Tidakkah dia punya rasa hormat terhadap bulan Ramadan yang mulia ini, sehingga tanpa segan silu menghilangkan dahaganya di hadapan seorang Islam? 

Tunggu. Jangan marah. Sabar. Jangan meradang. Anda yang berpuasa, bukan orang itu. Anda yang berlapar dan berdahaga, bukan orang itu. Anda punya hak untuk berpuasa. Orang itu punya hak untuk minum. Tidak ada sebab mengapa anda berasakan bahawa orang itu perlu menyorok minumannya. Anda tidak punya hak untuk menuntut supaya dia menghormati diri anda yang berpuasa. 

Kita percepatkan senario. Jam menunjukkan 7.15 petang. Tidak lama lagi, anda akan berbuka puasa. Anda berbuka di sebuah hotel yang menghidangkan bufet Ramadan dengan harga yang amat tinggi. Ada barisan manusia yang ingin mendapatkan makanan sebelum berpuasa. Apabila anda perhatikan, antara yang beratur ada pula bukan Islam yang turut beratur. Ah sudah! Sibuk pula mereka tatkala orang Islam hendak berbuka puasa, bisik hati anda. Tidak hormat langsung kepada orang Islam yang berpuasa!

Jangan berang. Sabar. Jangan melenting. Bufet Ramadan itu adalah untuk semua yang boleh membayar (harga yang tinggi, termasuk enam peratus GST). Tidak kiralah Islam atau tidak, puasa atau tidak. Anda tidak punya hak untuk tuntut bahawa hanya orang Islam boleh menikmati bufet Ramadan, kerana orang Islam sahaja yang berpuasa.

Terdapat berita bahawa di sekolah-sekolah, murid bukan Islam dilarang makan di hadapan murid Islam. Terdapat laporan juga bahawa premis makanan bukan Islam diwajibkan tutup sempena Ramadan. Apabila orang Islam menjalani ibadat puasa, seakan-akan orang bukan Islam juga perlu mengubah kehidupan, perlu dinafikan hak mereka walaupun mereka tidak berpuasa. 

Dari mana datangnya sikap bahawa bukan Islam harus mengubah hidup mereka demi orang Islam yang berpuasa? Lihat saudara-saudari seagama kita yang berpuasa di negara lain. Adakah mereka menuntut supaya orang lain menghormati puasa mereka? Mengapa kita di Malaysia pula yang membuat tuntutan seperti ini?

Ia timbul kerana ada di antara kita beranggapan bahawa pihak minoriti perlu mengikut kehendak dan tuntutan pihak majoriti, sehingga hak minoriti boleh diketepikan demi kehendak majoriti. Ini tanggapan salah tentang demokrasi; demokrasi tidak bermaksud hak minoriti boleh dinafikan atas kemahuan majoriti. Malahan dalam demokrasi berperlembagaan, hak minoriti dilindungi oleh undang-undang. 

Islam mengajar kita untuk bersabar. Puasa itu ibadat yang diwajibkan ke atas orang Islam, dan hanya orang Islam. Ibadat puasa itu sudah tentu dipenuhi dengan dugaan, tetapi ia dugaan yang harus ditempuhi oleh mereka yang berpuasa. Dunia masih berputar, hidup masih diteruskan walaupun kita berpuasa. 

 
*Penulis adalah seorang peguam