KEMATIAN tragik Zulfarhan Osman Zulkarnain dan T Nhaveen telah mengejutkan negara. Dua anak muda Malaysia kehilangan nyawa di tangan rakan-rakan sebaya mereka, jika mengikut laporan media.

Kematian mereka membuatkan kita mempersoalkan bagaimana dan di mana silapnya masyarakat kita, sehingga insiden-insiden seperti ini boleh berlaku.

Mereka yang dikatakan telah menyebabkan kematian dua anak itu sudah pun didakwa di mahkamah.

Dalam kes kematian Zulfarhan, enam pelajar universiti telah didakwa (lima atas tuduhan membunuh dan seorang atas tuduhan bersubahat), manakala untuk kes kematian Nhaveen, empat orang remaja telah didakwa. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 16 hingga 21 tahun.

Di media sosial, ramai yang menunjukkan kemarahan mereka terhadap tertuduh-tertuduh. Mereka telah dihakimi sebagai pembunuh, dan lebih teruk lagi, ahli keluarga mereka juga telah terkena tempias dan menerima kemarahan orang ramai.

Malah, telah dilaporkan bahawa ada di antara tertuduh yang tidak dapat melantik peguam untuk mewakili mereka, kerana peguam yang mereka dekati tidak mahu mengambil kes mereka.

Kita faham mengapa orang sedih dan marah. Kita sukar untuk menerima hakikat bahawa dua orang anak muda dengan masa depan yang cerah boleh hilang nyawa begitu sahaja. Laporan media tentang tindakan tertuduh-tertuduh ke atas Zulfarhan dan Nhaveen menjadikan kita lebih marah.

Tetapi, proses undang-undang mesti terus berjalan. Mereka yang dituduh mesti diberi peluang untuk membela diri di mahkamah. Ini tidak boleh dirampas daripada mereka, walau apa pun pendapat kita tentang sama ada mereka bersalah atau tidak.

Ingatlah prinsip penting dalam sistem keadilan jenayah; seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.

Terdapat anggapan ketidakbersalahan (dalam bahasa Inggeris, presumption of innocence buat semua tertuduh dalam apa jua kes jenayah. Seseorang tidak boleh dihukum sehinggalah pertuduhan terhadapnya dibuktikan.

Beban pembuktian adalah pada pihak pendakwaan, untuk membentangkan bukti yang mencukupi untuk meyakinkan mahkamah bahawa tertuduh bersalah.

Pihak pendakwaan perlu membuktikan ini melangkaui keraguan munasabah; sekiranya terdapat walau satu keraguan munasabah maka tertuduh mesti dibebaskan.

Tidak mudah untuk membuktikan suatu pertuduhan terhadap seseorang. Inilah yang sewajarnya, kerana sekiranya seseorang itu disabitkan kesalahan maka kebebasannya akan diambil daripadanya. Kadangkala, nyawanya juga mungkin diambil.

Pakar undang-undang Inggeris, William Blackstone mengatakan bahawa adalah lebih baik membebaskan 10 pesalah, daripada membenarkan walau seorang pun yang tidak bersalah dihukum.

Ini bermaksud, sistem keadilan itu mesti lebih memihak kepada tertuduh, walaupun ia bermaksud orang yang bersalah juga mungkin terlepas.

Pihak pendakwaan akan mempunyai jentera kerajaan dengan mereka untuk menyiasat dan membentangkan kes terhadap tertuduh.

Jentera yang sama tidak terbuka untuk kegunaan tertuduh. Sebab itu bebannya adalah pada pihak pendakwaan dan sebab itu William Blackstone mengeluarkan formulasinya itu.

Kita meratapi kematian Zulfarhan dan Nhaveen. Kita simpati dengan keluarga mereka, yang telah kehilangan orang yang disayangi dengan cara yang begitu zalim.

Pada masa yang sama, proses undang-undang perlu diteruskan dan diberi ruang untuk diteruskan.

Perbicaraan melalui media, atau dengan mengambil tindakan di luar undang-undang adalah tidak adil. Dalam kita mencari keadilan untuk Zulfarhan dan Nhaveen, jangan kita benarkan ketidakadilan.

*Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur