AKHIR-AKHIR ini, kita banyak membaca di dada-dada akhbar dan mendengar laporan berita mengenai proses persempadanan semula yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Banyak pihak yang mengkritik dan mempertikaikan syor-syor persempadanan semula yang dikemukakan oleh SPR. Tetapi, betapa ramai yang sebenarnya mengetahui apa itu proses persempadanan semula ini?

Proses ini diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan mewujudkan SPR yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dan menyediakan serta menyemak daftar pemilih bagi pilihan raya itu.

Antara tanggungjawab SPR adalah dalam membuat syor-syor berkenaan dengan persempadanan semula. SPR hendaklah, dari semasa ke semasa, sebagaimana yang difikirkannya perlu, mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan negeri-negeri kepada bahagian pilihan raya.

Ini bermaksud SPR perlu mengkaji semula dari semasa ke semasa pembahagian kawasan-kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Undangan Negeri hendaklah dijalankan pada masa yang sama dengan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Parlimen.

Selepas membuat kajian tersebut, SPR boleh mengeluarkan syor-syor perubahan mengenai kawasan-kawasan tersebut yang difikirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Jadual Ketiga Belas pula memperuntukkan prinsip-prinsip yang patut diambil kira dalam membahagikan kawasan-kawasan pilihan raya dalam proses ini.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah kemudahan pentadbiran yang ada dalam kawasan itu bagi mengadakan pilihan raya, pemeliharaan hubungan tempatan, memastikan semua pengundi diberi peluang semunasabahnya untuk pergi mengundi dan memastikan bahawa jumlah pemilih di dalam setiap kawasan pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak, kecuali selepas mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pengundi di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada kawasan-kawasan pilihan raya tersebut.

Selepas kajian dibuat dan syor-syor dirangka, SPR akan mengeluarkan suatu notis di dalam warta kerajaan dan akhbar tempatan tentang syor-syor tersebut, dan mempamerkan syor-syor tersebut di tempat-tempat awam untuk disemak oleh orang awam.

Dalam masa sebulan daripada tarikh notis tersebut, mana-mana pihak yang ingin membuat bantahan terhadap syor-syor tersebut boleh dihantar kepada SPR.

Sekiranya terdapat bantahan daripada mana-mana kerajaan negeri, atau pihak berkuasa tempatan yang terkesan dengan syor-syor tersebut  atau sekumpulan 100 pengundi berdaftar di dalam sebuah kawasan pilihan raya, maka SPR hendaklah menyebabkan suatu siasatan tempatan diadakan berkenaan dengan kawasan-kawasan pilihan raya itu.

Dalam siasatan tempatan itu, representasi boleh dibuat oleh pembantah mengenai mengapa bantahan dibuat terhadap syor-syor tersebut.

Suatu laporan kemudian akan dikemukakan kepada perdana menteri yang menunjukkan butir-butir syor-syor tersebut. Selepas mengemukakan laporan tersebut kepada perdana menteri, beliau pula hendaklah membentangkan laporan itu di hadapan Dewan Rakyat bersama dengan suatu draf perintah tentang syor-syor tersebut.

Sekiranya majoriti ahli Dewan Rakyat meluluskan draf tersebut, ia kemudian dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan YDPA hendaklah membuat suatu perintah mengikut kehendak draf yang dikemukakan kepadanya itu dan perintah itu akan berkuat kuasa.

Ini adalah secara ringkas, perjalanan proses persempadanan semula. Untuk mengetahui lebih lanjut dan lebih tepat, adalah lebih baik sekiranya dirujuk terus kepada Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Proses persempadanan semula ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada semua pengundi. Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengambil tahu tentang tatacaranya.

* Penulis ialah seorang peguam dan sebagai pengisytiharan kepentingan, ada terlibat dengan guaman berkenaan dengan proses
persempadanan ini.