FENOMENA permainan mudah alih, Pokemon Go akhirnya melanda Malaysia!

Macam-macam ragam rakyat Malaysia bermain permainan ini. Ada yang sanggup ‘berkhemah’ di tempat-tempat yang banyak Pokemon. Ada yang terlibat dengan kemalangan dek memburu Pokemon. Ada yang kena denda kerana menghalang trafik akibat mencari Pokemon.

Kakitangan sesetengah kementerian telah dilarang bermain permainan ini. Balai polis juga dijadikan kawasan larangan. Polis telah mengeluarkan amaran kepada mereka yang leka bermain Pokemon.

Di Kedah pula, Jawatankuasa Fatwa negeri Kedah mengharamkan Pokemon Go selain menyifatkan permainan itu wajar dihalang, disekat serta dilarang berikutan ‘banyak memberi kesan mudarat kepada masyarakat’.

“Justeru kita mahu pihak berkuasa menyekat kerana ia membawa kemudaratan termasuk menggugat keimanan dan kepercayaan pada kuasa ALLAH serta keburukannya kepada hidup, keluarga, masyarakat dan negara”, Mufti Kedah dipetik berkata.

“Selain itu ia mengancam ibadat, mengganggu gugat keselamatan negara, boleh mengancam terdedahnya kerahsiaan negara dan ketagihan terhadap permainan ini hingga menyebabkan mereka meninggalkan pekerjaan dan pelajaran," kata beliau lagi.

Walaupun banyak pihak telah menzahirkan kebimbangan terhadap permainan tersebut, setakat ini Pokemon Go hanya dilarang melalui fatwa di Kedah. Sebelum ini, ada dilaporkan kononnya ia diharamkan di Wilayah Persekutuan, tetapi setelah dijelaskan oleh mufti sendiri ia bukan suatu fatwa pengharaman, cuma sebagai nasihat.

Menurut Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008, Jawatankuasa Fatwa negeri Kedah boleh mengeluarkan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau atas apa-apa isu yang berhubung dengan hukum syarak.

Apa-apa fatwa yang diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa yang melibatkan kepentingan awam hendaklah diwartakan. Apa-apa pernyataan yang diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa di bawah enakmen ini adalah fatwa.

Sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa, mufti boleh menyebabkan satu kajian atau penyelidikan dijalankan oleh pegawai penyelidik sebagaimana yang diarahkan olehnya dan satu kertas kerja disediakan. Tidak dapat dipastikan sama ada Jawatankuasa Fatwa Kedah ada membuat kajian atau penyelidikan tentang Pokemon Go sebelum membuat keputusan mengharamkan permainan tersebut.

Enakmen tersebut juga menyatakan bahawa apa-apa fatwa yang disiarkan dalam warta hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Kedah sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipan di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh hukum syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan atau pendapat.

Tetapi bagi orang Islam yang berada di luar Kedah, fatwa tersebut tidak mengikat mereka. Permainan Pokemon Go tidak menjadi haram buat mereka yang di negeri-negeri lain, buat masa ini.

Oleh kerana agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri, setiap negeri mempunyai enakmen Islam sendiri yang mengikat setiap orang yang menganut agama Islam di dalam negeri tersebut. Undang-undang ini digubal oleh Dewan Undangan Negeri setiap negeri.

Ini juga bermakna, fatwa berbeza-beza mengikut negeri, seperti apa yang berlaku dengan fatwa berkenaan dengan Pokemon Go. Inilah keistimewaan negara ini. Bidang kuasa negeri-negeri wajar didukung dan dihormati.

Akhir sekali, walau apa pun situasi mengikut undang-undang dan hukum mengenai permainan Pokemon Go ini, yang penting kita yang bermain permainan tersebut harus sentiasa memastikan bahawa ia dilakukan dengan selamat dan tanpa melanggar apa-apa peraturan atau undang-undang.

Pada akhirnya, apa yang kita semua mahu adalah untuk menikmati permainan yang menakjubkan ini dengan tenteram dan tanpa apa-apa insiden.