PADA 10 April 2015, Dewan Rakyat telah meluluskan suatu rang undang-undang yang meminda Akta Hasutan, walaupun dengan bantahan masyarakat madani, parti politik pembangkang dan orang ramai.

Antara pindaan yang dibuat adalah mahkamah tidak lagi boleh mengenakan denda bagi apa-apa sabitan di bawah akta tersebut. Sebaliknya, sekiranya seorang tertuduh disabitkan bersalah, tertuduh tersebut mesti dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun.

Hukuman penjara minimum ini akan memberi impak yang besar kepada anak-anak muda yang disabitkan di bawah akta ini. Kehidupan mereka sudah tentu akan terjejas, termasuklah pendidikan mereka, kerana mereka akan meringkuk di dalam penjara untuk sekurang-kurangnya tiga tahun.

Untuk wakil rakyat pula, sabitan di bawah akta ini bermakna mereka akan hilang kerusi mereka. Memandangkan begitu ramai wakil rakyat parti pembangkang yang kini berhadapan dengan tuduhan di bawah akta tersebut, adakah kita akan lihat lebih banyak lagi pilihan raya kecil pada masa hadapan?

Satu lagi pindaan memberi kuasa kepada mahkamah untuk menghalang seseorang yang telah didakwa di bawah akta tersebut daripada ke luar negara.

Sekiranya permohonan dibuat oleh pendakwa raya, mahkamah harus mengeluarkan perintah untuk menahan dokumen perjalanan seperti pasport orang tersebut.

Di bawah undang-undang sedia ada, permohonan yang sama boleh dibuat, bezanya dengan pindaan ini mahkamah tidak lagi mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada terdapat keperluan untuk menghalang orang tersebut.

Mengapa pindaan ini perlu dibuat untuk mengikat tangan mahkamah? Mengapa tidak biarkan sahaja mahkamah tentukan sama ada terdapat alasan-alasan untuk mengenakan syarat semasa tertuduh diikat jamin, seperti yang diperuntukkan oleh Kanun Acara Jenayah?

Pindaan juga memperkenalkan kesalahan baharu iaitu kesalahan menghasut yang ‘menyebabkan’ kecederaan badan atau kerosakan harta-benda. Sekiranya disabitkan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun. Perkataan ‘menyebabkan’ itu tidak ditakrifkan dengan tepat dalam pindaan yang dibuat.

Sekiranya seseorang itu dikatakan telah mengeluarkan kata-kata yang ditakrifkan sebagai menghasut, dan orang lain mencederakan orang atau merosakkan harta benda, adakah wajar orang yang dikatakan menghasut itu dikenakan hukuman yang begitu berat?

Malahan, di bawah Kanun Keseksaan terdapat kesalahan-kesalahan yang boleh digunakan yang mempunyai takrifan lebih jelas daripada pindaan tersebut.

Pindaan yang dibuat juga akan memberi impak yang besar kepada pengguna internet dan media sosial. Salah satu pindaan adalah memasukkan ‘menyebabkan penerbitan’ sebagai salah satu kegiatan menghasut.

Ini dipercayai dimasukkan secara khusus untuk kes-kes berkenaan dengan pengguna media sosial yang tidak secara terus ‘menerbitkan’ kata-kata menghasut, tetapi diterbitkan melalui medium seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

Pindaan juga dibuat untuk menjadikan ia kesalahan sekiranya seseorang itu ‘menyebarkan’ (lebih tepat lagi dalam bahasa Inggeris, ‘propogate’) penerbitan menghasut.

Ini bermakna, sekiranya seseorang itu retweet dalam Twitter, ‘share’ ‘posting’ orang lain dalam Facebook atau kongsi benda yang diambil daripada grup Whatsapp ‘lagi satu’, walaupun orang itu tidak punya niat untuk menghasut, orang tersebut masih telah melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

Satu lagi pindaan memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah terhadap mana-mana orang yang membuat atau mengeluarkan penerbitan menghasut untuk membuang penerbitan tersebut.

Lebih membimbangkan lagi, perintah tersebut juga boleh menghalang orang yang dikatakan telah membuat atau mengeluarkan penerbitan menghasut daripada mendapat akses kepada peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet atau komputer.

Jika sebelum ini Akta Hasutan bersifat menekan, pindaan-pindaan yang dibuat akan menjadikan ia lebih menekan dan akan digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat kita pada masa hadapan.

*Penulis adalah seorang peguam