BARU-BARU ini, dalam suatu wawancara dengan media, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan sokongannya kepada cadangan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Hak seseorang rakyat untuk mengundi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan, seorang warganegara yang telah mencapai umur 21 tahun, bermastautin di sesuatu kawasan pilihan raya pada tarikh kelayakan dan sudah didaftarkan dalam daftar pemilih, layak dan berhak mengundi dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.  

Menurut laporan media, Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa mempertimbangkan cadangan tersebut adalah suatu perkara yang berbaloi. Menurutnya lagi, kerajaan percaya bahawa orang ramai kini lebih bijak dan boleh membuat keputusan.

Manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 juga mengandungi janji untuk membuat beberapa penambahbaikan sistem pilihan raya, termasuklah menurunkan umur layak mengundi.

Sebelum ini, telah wujud suatu gerakan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun. Gerakan ini, yang dikenali sebagai Undi18 mengatakan bahawa sebanyak 1.5 juta rakyat Malaysia yang sudah dewasa tidak boleh mengundi kerana mereka belum mencapai umur 21 tahun.

Pada tahun 1971, ahli politik veteran, Lim Kit Siang dalam ucapan penggulungannya di Parlimen telah pun mencadangkan supaya umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Beliau juga mencadangkan penubuhan suatu Jawatankuasa Pelbagai Parti (All Party Committee) untuk mengkaji cadangan tersebut.

Malangnya sehingga kini, tiada usaha konkrit oleh kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur layak mengundi.

Menurut undang-undang negara, seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun adalah seorang dewasa di sisi undang-undang. Maknanya, orang itu tidak lagi dikira sebagai seorang kanak-kanak dan dikatakan sudah cukup umur. Orang itu sudah mencapai umur majoriti.

Seseorang yang sudah berumur 18 tahun boleh memasuki perjanjian dan bekerja, contohnya. Malahan, seseorang yang masih belum mencapai 18 tahun sudah layak berkahwin dan mendapat lesen memandu.

Namun demikian, orang itu tidak boleh mengundi semasa pilihan raya untuk menentukan siapa yang akan mewakilinya di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Ada yang mengatakan bahawa seseorang yang berumur 18 tahun itu ‘belum cukup matang’ untuk mengundi. Tetapi kematangan adalah sesuatu perkara yang berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain.

Amalan mengundi secara asasnya tidak menjadikan kematangan seseorang itu sebagai suatu syarat, asalkan orang itu waras dan faham apa yang dilakukan.

Hampir kesemua negara di dunia ini meletakkan umur 18 tahun sebagai umur layak mengundi. Ini termasuklah negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Iran.

Malahan, jiran kita Thailand, Filipina dan Indonesia juga membenarkan warganegara yang berumur 18 tahun untuk mengundi. Kita sebenarnya sudah ketinggalan dalam hal umur layak mengundi ini.

Oleh itu, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengorak langkah untuk meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur layak mengundi. Parti-parti pembangkang juga harus menyokong apa-apa usul Kerajaan untuk membuat pindaan tersebut, demi masa hadapan negara.

Dalam Malaysia baharu ini, tidak ada sebab mengapa anak muda yang sudah dewasa dinafikan peluang untuk terlibat dalam menentukan hala tuju negara melalui proses pilihan raya.