BARU-BARU ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan notis kedua bagi cadangan persempadanan semula bagi negeri Selangor.

Sebagai respons, NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah mengeluarkan kenyataan media bahawa mereka memerlukan 100,000 pengundi di Selangor untuk membantah persempadanan semula bahagian pilihan raya Selangor.

Proses persempadanan semula ini adalah suatu proses di mana SPR menyemak semula sempadan kawasan pilihan raya yang sedia ada bagi kawasan Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri-negeri. Ia dilaksanakan sekurang-kurangnya setiap 8 tahun.

Tujuan proses ini dijalankan bagi memastikan bahawa sempadan pilihan raya tersebut mematuhi prinsip-prinsip yang terkandung di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah kemudahan pentadbiran yang ada di dalam kawasan itu bagi mengadakan pilihan raya, pemeliharaan hubungan tempatan, memastikan semua pengundi diberi peluang untuk pergi mengundi dan memastikan bilangan pemilih dalam setiap kawasan pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak.

Selepas kajian dibuat dan cadangan persempadanan semula dirangka, SPR akan mengeluarkan suatu notis dalam warta kerajaan dan akhbar tempatan tentang cadangan mereka untuk persempadanan semula, dan mempamerkan cadangan tersebut di tempat-tempat awam untuk semakan awam.

Dalam masa  satu bulan dari notis tersebut disiarkan, sekiranya terdapat bantahan daripada mana-mana kerajaan negeri, atau pihak berkuasa tempatan atau sekumpulan 100 pengundi berdaftar di dalam sebuah kawasan pilihan raya, maka SPR haruslah mengadakan suatu siasatan tempatan untuk kawasan pilihan raya itu yang terdapatnya bantahan.

Dalam siasatan tempatan itu, representasi boleh dibuat oleh pembantah mengenai mengapa bantahan dibuat terhadap cadangan SPR tersebut.

Selepas itu, SPR boleh mengambil kira bantahan dan kemudian mengeluarkan cadangan baharu. Cadangan ini perlu sekali lagi dipamerkan dan notis dikeluarkan. Proses bantahan dan siasatan tempatan akan berlangsung sekali lagi.

Pada masa ini, proses ini telah dilangsungkan bagi seluruh negeri di Tanah Melayu, kecuali Selangor. Ini kerana, kerajaan negeri Selangor telah sebelum ini mencabar di mahkamah cadangan persempadanan semula yang dikeluarkan oleh SPR dan tindakan mahkamah ini telah menggantung sementara proses ini bagi Selangor.

Namun demikian, pada akhir tahun lepas mahkamah tinggi akhirnya  menolak cabaran Kerajaan Selangor. Ini bermakna, proses itu boleh diteruskan semula di Selangor.

Di Selangor, SPR telah pun mengadakan proses siasatan tempatan kali pertama. Notis kedua telah dikeluarkan dan tempoh masa satu bulan untuk membuat bantahan telah pun bermula.

Ramai pihak yang mempertikaikan cadangan SPR. Antara lain, cadangan tersebut dikatakan tidak mengikuti prinsip dalam Perlembagaan, di samping memberi kelebihan yang tidak adil kepada kerajaan Persekutuan.

Banyak kajian yang telah dibuat mengenai mengapa banyak pihak mempertikaikan cadangan SPR, dan ini telah disiarkan dalam media.

Oleh sebab itu, NGO seperti Bersih 2.0 mahu seberapa ramai pengundi di Selangor untuk memasukkan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula di Selangor.

SPR dijangkakan mahu memuktamadkan persempadanan semula kali ini sebelum berlangsungnya PRU.

Maka, laporan perlu disiapkan dan diberikan kepada perdana menteri sebelum sidang Parlimen pada Mac nanti.

Adakah SPR sempat menyiapkannya sebelum PRU? Atau adakah sempadan yang digunakan adalah yang sedia ada, dan bukannya sempadan baharu?

Walau apa jua keadaan sekalipun, yang penting rakyat harus memastikan suara mereka dapat didengari oleh semua pihak, lebih-lebih lagi SPR, mengenai perkara ini yang menyentuh pada hak kita untuk mengundi.

*Penulis ialah seorang peguam dan sebagai pengisytiharan kepentingan, ada terlibat dengan guaman berkenaan dengan proses persempadanan ini