SIFAT perkauman bukan sahaja halangan kepada perpaduan nasional kita, tetapi merupakan ancaman kepadanya. Sekiranya dibiarkan begitu sahaja, rasisme akan mendatangkan lebih banyak masalah.

Perpaduan kita memang tidak sempurna. Dalam kalangan rakyat, terdapat prasangka dan prejudis yang mendalam terhadap kaum-kaum lain. Hubungan antara kaum juga seperti semakin meruncing beberapa tahun yang kebelakangan ini.

Sehingga kita mencapai perpaduan nasional yang benar-benar bermakna, kita sebagai sebuah negara merdeka tidak akan dapat mencapai potensi sebenar. Pembinaan negara-bangsa kita akan tersangkut sekiranya kita tidak mencapai perpaduan di antara kaum.

Perpaduan tidak bermakna kita harus menggugurkan identiti etnik, budaya dan bahasa kita. Perpaduan itu bukan homogeni, ia bermaksud kita menerima satu sama lain sebagai warganegara Malaysia.

Persoalannya adalah, bagaimana kita hendak mencapai perpaduan yang bermakna? Bagaimana kita boleh menangani rasisme?

Ada yang mahukan undang-undang digunakan ke atas mereka yang menyebarkan sentimen perkauman, seperti Akta Hasutan dan undang-undang lain.

Tetapi kita harus ingat, rasisme walaupun kita kutuk, bukanlah jenayah. Kenyataan yang rasis tidak wajar dihalang sekiranya ia tidak mengajak orang untuk membawa mudarat atau keganasan.

Undang-undang bukan penyelesaian. Kita tidak boleh paksa orang untuk menerima orang lain dan menolak perkauman.

Penyelesaiannya hanya boleh dikenal pasti jika kita melihat pada sebab-sebab mengapa terdapatnya perkauman dan prejudis kaum dalam masyarakat kita. Kita harus mengenal pasti garis-garis pemisah yang menghalang kita daripada mencapai perpaduan. Hanya dengan cara ini kita dapat menangani masalah ini.

Kerajaan memainkan peranan yang cukup penting. Kerajaan harus sedar tentang betapa pentingnya perpaduan nasional dan wajar mengambil segala langkah dan tindakan untuk memupuk perpaduan nasional. Perpaduan nasional harus dijadikan agenda kebangsaan dan dijadikan keutamaan.

Ini tidak bermakna perpaduan dijadikan alasan untuk menutup mulut suara-suara yang menentang atau berbeza dengan naratif perpaduan nasional. Perpaduan tidak bermaksud negara tidak toleran dengan pengeluaran kata-kata yang bertentangan.

Jangan lupa, di dalam sebuah negara demokrasi seperti kita, rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat, walaupun pendapat tersebut tidak dapat diterima oleh kita.

Dalam kerajaan, kita ada seorang menteri yang dipertanggungjawabkan dengan perpaduan nasional. Jemaah menteri kita terlalu besar, tetapi sekiranya kita serius ingin jadikan perpaduan nasional sebagai keutamaan, maka harus ada sebuah kementerian khas untuk perpaduan.

Pada masa sama, perpaduan juga harus menjadi tanggungjawab semua yang ada dalam pentadbiran. Tidak boleh ada ruang untuk rasis dalam kerajaan.

Tidak boleh ada seorang pun ahli dalam pentadbiran negara yang dilihat untuk menyokong atau mengeluarkan sentimen perkauman. Sentimen perkauman tidak boleh diperkuatkan atau diberi legitimasi oleh mereka yang di dalam pentadbiran negara.

Pada semua masa, mesej penting yang keluar daripada kerajaan haruslah mesej tentang perpaduan dan penerimaan. Mesej yang keluar mesti jelas dan konsisten, dan tidak bercanggah.

Mesej itu juga tidak boleh disampaikan hanya dengan slogan atau cogan kata, tetapi melalui kata-kata yang ditambah dengan tingkah laku. Rakyat harus percaya bahawa kerajaan benar-benar memandang serius tentang perpaduan nasional.

Dengan menjadikan perpaduan nasional sebagai keutamaan, kerajaan akan memimpin dengan menunjukkan contoh yang baik berkenaan dengan isu ini.

Dengan usaha dan kerjasama di antara kerajaan dan rakyat, rasisme dan perkauman boleh dikalahkan dan kita boleh membina sebuah Malaysia yang benar-benar utuh dan bersatu-padu.

* Penulis seorang peguam di firma guaman Kuala Lumpur