PADA Januari tahun ini, Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat telah menjadikan 13 juta muka surat dokumen-dokumen yang dibatalkan kerahsiaannya boleh didapati di laman sesawang mereka.

Dokumen-dokumen ini antaranya mengandungi maklumat tentang UFO, psikik terkenal Uri Geller dan bekas pemimpin Cuba mendiang Fidel Castro.

Keputusan untuk menjadikan dokumen-dokumen ini boleh diakses atas talian melalui internet adalah atas usaha pejuang kebebasan maklumat dan saman yang telah difailkan terhadap CIA sendiri. 

Untuk rakyat Malaysia, dokumen-dokumen yang sebelum ini rahsia juga mengandungi laporan CIA berkenaan dengan skandal kewangan BMF pada 1980-an yang mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dokumen-dokumen ini telah dijadikan ‘peluru’ oleh sesetengah pihak untuk menyerang bekas perdana menteri tersebut. 

Ironinya, jika usaha yang sama dilakukan di Malaysia oleh pejuang kebebasan maklumat, ia mungkin sekali tidak berjaya. Hak untuk kebebasan maklumat, suatu hak yang diiktiraf di merata dunia sebagai sebahagian daripada hak untuk kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat belum lagi diiktiraf di negara ini.

Baru-baru ini, seorang aktivis telah membawa tindakan guaman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya untuk suatu deklarasi bahawa pengundi-pengundi mempunyai hak untuk mendapat semua maklumat berkenaan dengan perubahan ke atas kawasan-kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Asas tindakan guaman ini antara lain, hak untuk mendapat maklumat ini adalah sebahagian daripada hak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Tindakan guaman itu gagal di mahkamah tinggi dan di mahkamah rayuan, keputusan ini disahkan. Mahkamah rayuan memutuskan bahawa berbeza dengan negara seperti India, Malaysia tidak mempunyai undang-undang kebebasan maklumat yang khusus. Oleh itu, pengundi tidak berhak terhadap maklumat tersebut. 

Di negara-negara yang mempunyai undang-undang kebebasan maklumat, orang ramai boleh membuat permohonan untuk mendapatkan maklumat daripada jabatan kerajaan atau mana-mana badan yang menjalankan fungsi awam.

Badan-badan ini mempunyai obligasi untuk memberikan maklumat tersebut, melainkan maklumat tersebut tergolong dalam kategori maklumat yang melibatkan keselamatan dalam negeri atau hubungan luar, contohnya. 

Kita tidak mempunyai akta kebebasan maklumat di peringkat persekutuan. Dua negeri ada menggubal enakmen kebebasan maklumat, tetapi keberkesanan kedua-dua enakmen ini adalah terhad kerana enakmen-enakmen tersebut hanyalah pada peringkat negeri.

Apatah lagi dengan kewujudan undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) di peringkat persekutuan. 

OSA bercanggah dengan kebebasan maklumat. Dengan OSA, apa-apa dokumen boleh diklasifikasikan sebagai ‘rahsia rasmi, tanpa mengira sama ada klasifikasi tersebut adalah wajar atau tidak. 

Dokumen-dokumen CIA yang sebelum ini adalah rahsia telah dibatalkan kerahsiaannya di bawah suatu Perintah Eksekutif yang mewajibkan pembatalan kerahsiaan bagi rekod-rekod bernilai yang berumur 25 tahun atau lebih. Sekiranya dokumen-dokumen ini berada di Malaysia, OSA akan terpakai dan ia akan terus menjadi ‘rahsia rasmi’, melainkan dibatalkan oleh kerajaan.

Tidak ada pembatalan ‘automatik’ selepas 25 tahun seperti di Amerika Syarikat. 

Sudah tiba masa untuk kita menggubal suatu akta kebebasan maklumat dan kita mansuhkan OSA. Ini akan memastikan kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri-negeri, akan bertindak dengan terbuka dalam apa jua yang mereka lakukan. Kebebasan maklumat juga akan memastikan kebertanggungjawaban dan mengurangkan rasuah dan salah guna kuasa.

Sebuah kerajaan yang tidak ada apa-apa untuk disembunyikan tidak perlu takut dengan pemantauan oleh rakyat.