PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) akan tiba tidak lama lagi. Kita akan melalui pilihan raya yang mungkin paling penting dalam sejarah negara kita. Pada ketika ini, fokus kita terlalu tertumpu pada PRU14 sehinggakan kita tidak dapat melihat, melangkaui pilihan raya yang akan datang.

Namun demikian, kita harus sedar bahawa walau apa pun yang berlaku, usaha kita untuk menjadikan Malaysia lebih baik mesti diteruskan. Kita tidak boleh berhenti selepas PRU14.

 Untuk penulis, Malaysia selepas PRU14 haruslah memberi tumpuan kepada memperkasakan rakyat melalui undang-undang.

Undang-undang yang kita ada sekarang tidak memperkasakan rakyat, malah ia menyekat dan menghalang pembangunan rakyat. Kita harus berusaha mengubah perkara ini.

Pertamanya, kita harus menyemak semula akta-akta yang menyekat kebebasan rakyat. Terdapat banyak undang-undang yang menyekat kebebasan asasi. Undang-undang ini perlu dipinda atau dimansuhkan sama sekali dan digantikan dengan undang-undang yang membantu amalan kebebasan.

Kedua, proses penggubalan undang-undang perlu dirombak. Pada masa ini, suatu rang undang-undang akan diluluskan dalam masa beberapa hari. Wakil-wakil rakyat akan menerima rang undang-undang pada hari Isnin contohnya, rang undang-undang tersebut akan dibahaskan pada hari Khamis dan diluluskan pada hari yang sama.

Wakil rakyat tidak diberi masa untuk meneliti rang undang-undang sebelum ia dibahaskan. Perbahasan pula terhad dari segi masa. Dan akhirnya, undang-undang yang digubal akan mempunyai kelemahan dan tidak mencerminkan aspirasi rakyat.

Rang undang-undang perlu diberi masa yang munasabah di Parlimen. Ia perlu melalui peringkat jawatankuasa di mana ia akan disemak oleh sekumpulan wakil rakyat dengan teliti. Jawatankuasa tersebut juga wajar dibenarkan untuk mendapat maklum balas dan pandangan daripada pemegang kepentingan. Proses konsultasi ini adalah penting untuk memastikan bahawa orang ramai merasakan bahawa mereka terlibat dengan proses perundangan.

Ketiga, pilihan raya kerajaan tempatan harus dikembalikan. Selalunya isu-isu yang dihadapi oleh rakyat biasa adalah isu-isu kerajaan tempatan. Terdapat perintah pembangunan dan keputusan yang akan membawa kesan kepada suatu komuniti tempatan. Tetapi, oleh kerana Datuk Bandar dan ahli majlis adalah dilantik dan bukannya dipilih, terdapat kurangnya kebertanggungjawaban dalam kalangan mereka.

 Mana-mana keputusan dasar yang penting tidak boleh dibuat oleh mana-mana majlis perbandaran selagi tidak mendapat maklum balas daripada komuniti tempatan.

Akhir sekali, akses kepada sistem keadilan harus dipertingkatkan. Ini bermakna, lebih ramai rakyat biasa harus diupayakan untuk membuat tuntutan atau membela diri di mahkamah.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memberikan khidmat guaman kepada mereka yang didakwa di mahkamah, oleh itu lebih banyak dana wajar diberikan kepada YBGK untuk memberi khidmat guaman kepada lebih ramai orang.

Penulis juga mencadangkan suatu dana litigasi hak asasi manusia yang dikendalikan oleh kerajaan. Model ini diamalkan di negara-negara lain, contohnya negara Belanda, di mana kerajaan mempunyai dana bagi mereka yang mengambil tindakan mahkamah untuk menegakkan hak asasi mereka.

Dengan mempertingkatkan akses kepada sistem keadilan, lebih ramai orang mampu untuk menegakkan hak mereka di mahkamah. Kewangan tidak akan menjadi halangan untuk mendapatkan keadilan.

Ini adalah cadangan-cadangan penulis untuk memperkasakan rakyat melalui undang-undang. Dengan cara ini, diharapkan bahawa kita boleh melangkah lebih dekat kepada suatu negara demokratik yang moden dan dinamik, suatu Malaysia yang lebih baik.