DALAM tempoh beberapa minggu yang lepas, dua perhimpunan besar-besaran telah berlangsung di tengah-tengah ibu kota. Perhimpunan pertama adalah perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos 2015, manakala himpunan #Merah169 (antara nama begitu banyak nama yang digunakan untuk himpunan tersebut) pula berlangsung pada 16 September 2015.

Bagi rencana ini, penulis ingin fokus pada perhimpunan Bersih 4, kerana perhimpunan itu telah berlangsung selama dua hari dengan aman dan tanpa insiden keganasan. Himpunan #Merah169, walaupun rata-ratanya juga aman, tetapi terdapat insiden terpencil yang mana sesetengah demonstran telah melawan polis.

Penulis, seperti ramai yang lain, menjangkakan bahawa Bersih 4 tidak akan berlangsung tanpa insiden. Ini berdasarkan komen dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum ini dan juga tindakan kerajaan dalam pakaian dan bahan-bahan berkenaan dengan Bersih 4 sehari sebelum perhimpunan.

Perhimpunan-perhimpunan sebelum ini juga telah melihat keadaan di mana pihak polis menggunakan kekerasan yang tidak wajar, meriam air dan gas pemedih mata untuk menghalang demonstran daripada berhimpun.

Di samping itu, terdapat juga penahanan yang dibuat sebelum berlangsungnya perhimpunan, contohnya ketika Bersih 2.0. Juga sekatan jalan raya dan carian yang dibuat pada ketika itu untuk mencari golongan penyokong Bersih.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia atau Suhakam telah membuat inkuiri terhadap perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0. Dapatan daripada kedua-dua inkuiri tersebut mendapati pihak berkuasa telah menggunakan kekerasan tidak wajar ke atas golongan  demonstran dan juga telah mencabuli kebebasan asasi mereka dalam perhimpunan-perhimpunan tersebut.

Namun demikian, berbeza daripada jangkaan, Bersih 4 berlangsung tanpa keganasan. Pihak polis tidak menghalang perhimpunan tersebut, malahan membenarkan ia berlangsung untuk tempoh yang ditetapkan. Mereka juga membantu dengan mengawal trafik dan memindahkan perayaan Ambang Merdeka ke tempat lain. Sebagai balasan, golongan demonstran juga bersurai dengan aman selepas tengah malam seperti yang dijanjikan oleh penganjur.

Ya, benar selepas Bersih 4, beberapa orang individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan dengan perhimpunan tersebut. Benar juga, ada beberapa anak muda yang telah ditangkap di lokasi Rumah Api pada malam sebelum Bersih 4. Ya, polis juga begitu bersungguh-sungguh mencari mereka yang memijak gambar foto ahli politik, walaupun tidak ada jenayah yang dilakukan. Semua ini tindakan yang tidak wajar dan patutnya dikritik.

Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa sebuah perhimpunan besar-besaran telah berlangsung di Kuala Lumpur dengan aman. Polis dan demonstran keduanya memainkan peranan masing-masing untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan aman.

Ia juga membuktikan bahawa perhimpunan aman boleh berlangsung tanpa keganasan, walaupun ada sesetengah yang mengatakan sebaliknya. Ia juga membuktikan bahawa sekiranya perhimpunan itu aman, peniaga boleh mengaut keuntungan seperti yang dibuktikan dengan kedai, hotel, gerai dan trak makanan yang semuanya berniaga tanpa gangguan pada hari itu.

Perjalanan untuk mendapat pengiktirafan bahawa perhimpunan aman boleh berlangsung panjang dan berliku, dipenuhi dengan gas pemedih mata, air kimia, keringat dan darah. Kita tidak sampai di sini kerana pihak berkuasa membenarkannya dengan besar hati. Lama sudah rakyat memperjuangkan hak ini, sehinggakan akhirnya mereka juga terpaksa mengalah setelah diasak dengan desakan sekian lama.

Letak tepi sama ada anda bersetuju dengan apa yang diperjuangkan oleh Bersih. Mereka yang mengaku diri mereka demokrat, tidak kiralah dari parti mana sekalipun, harus meraikan detik penting dalam sejarah demokrasi Malaysia.

* Penulis ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur