SEMASA Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah dibenarkan melawat beliau. Daripada lawatan Suhakam tersebut, barulah awam mendapat tahu bahawa Maria diberikan katil kayu tanpa tilam dan tiada air panas.

Suhakam adalah sebuah badan berkanun yang diwujudkan melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Menurut akta tersebut, fungsi Suhakam antara lain adalah untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia, menasihati dan membantu kerajaan dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.

Suhakam juga berperanan mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia dan untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Selain dari itu, akta berkenaan menyatakan bahawa hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) selagi Pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermakna, hak asasi manusia seperti yang diperuntukkan dalam UDHR mesti didukung dan dihormati, selagi mana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menjalankan fungsinya, Suhakam diberi kuasa untuk, antara lain, mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel serta untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu, menasihati kerajaan atau pihak berkuasa mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan dan mengesyorkan langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.

Di samping itu Suhakam juga berkuasa melawat tempat tahanan dan membuat syor yang perlu dan mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu.

Suhakam terdiri daripada tidak lebih 12 orang ahli pesuruhjaya termasuklah pengerusi dan naib pengerusi, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, yang sebelum memberikan nasihatnya, harus berunding dengan sebuah jawatankuasa berkenaan dengan lantikan.

Anggota suruhanjaya hendaklah dilantik daripada kalangan lelaki dan wanita daripada pelbagai latar belakang agama, politik dan kaum yang mempunyai pengetahuan, atau pengalaman praktikal dalam perkara hak asasi manusia.

Suhakam memainkan peranan yang cukup penting dalam negara. Selain daripada melawati Maria Chin ketika dalam tahanan, Suhakam juga sering membuat lawatan ke pusat-pusat tahanan lain di seluruh negara.

Suhakam juga sentiasa mengeluarkan kenyataan media berkenaan dengan isu-isu hak asasi manusia. Contohnya, baru-baru ini Suhakam ada mengeluarkan beberapa kenyataan berkenaan dengan perhimpunan Bersih 5, penggunaan Sosma, penukaran agama kanak-kanak dan juga korupsi.

Di samping itu, Suhakam juga ada membuat siasatan awam, di mana saksi dipanggil dan diperiksa dalam pelbagai isu. Contohnya, mengenai apa yang berlaku semasa perhimpunan besar dan juga tentang hak tanah Orang Asli dan Orang Asal.

Suhakam juga mempunyai tanggungjawab menyediakan laporan tahunan mengenai aktivitinya ke Parlimen setiap tahun.

Namun demikian, walaupun kebanyakan Suhakam menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, apa yang mereka boleh lakukan juga terhad. Contohnya, dalam menasihati kerajaan atau membuat apa-apa syor, kerajaan tidak punya obligasi untuk menerima nasihat atau syor tersebut.

Suhakam juga tidak boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku.

Tetapi keberkesanan Suhakam terletak pada usahanya untuk mendidik dan memupuk kesedaran umum mengenai hak asasi manusia, melalui kenyataan media, program-program dan laporan tahunan.

Malangnya, dilaporkan bahawa peruntukan kewangan bagi Suhakam yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan telah dikurangkan. Ini sudah tentu akan memberi kesan kepada operasi Suhakam.

Hak asasi manusia tidak boleh dikompromikan. Jika kerajaan benar-benar serius mengenai hak asasi manusia, maka Suhakam harus terus beroperasi dengan optimum, tanpa apa-apa jenis kekangan termasuklah kewangan.