BAYANGKAN senario ini. Parlimen meluluskan undang-undang yang membolehkan kerajaan untuk mengambil hartanah yang dimiliki oleh orang persendirian bagi membangunkan tanah tersebut bagi tujuan komersial.

Menurut undang-undang tersebut, orang persendirian yang diambil hartanahnya tidak boleh menolak atau mempertikaikan pengambilan tanah tersebut. Kerajaan hanya perlu memberi pampasan kepada pemilik dalam jumlah yang minimum.

Selepas undang-undang ini dikuatkuasakan, begitu ramai pemilik hartanah yang hartanya diambil oleh kerajaan. Kerajaan sering kali menggunakan alasan ia adalah untuk membangunkan hartanah tersebut mengikut undang-undang sedia ada.

Pampasan yang diberikan juga begitu sedikit, jauh daripada nilai sebenar hartanah tersebut.

Namun, dalam senario ini kerajaan bertindak mengikut undang-undang yang diluluskan Parlimen, maka pada zahirnya, tindakan yang diambil adalah sah di sisi undang-undang.

Dalam senario fiksyen ini, kepada siapa pemilik hartanah boleh mendapat relief? Siapa yang boleh menegakkan hak mereka yang dinafikan oleh kerajaan?

Sudah tentu melalui mahkamah. Jika hak seseorang itu dicabul oleh kerajaan, badan kehakiman bertanggungjawab untuk memastikan hak mereka ditegakkan.

Dalam senario itu tadi, mahkamah boleh melindungi pemilik-pemilik hartanah tersebut dengan memutuskan sama ada undang-undang tersebut tidak sah, pampasan yang diberikan adalah terlalu sedikit atau mentafsir undang-undang itu supaya kerajaan harus memberi justifikasi munasabah untuk mengambil hartanah.

Kuasa di dalam sesebuah negara secara amnya terletak pada tiga badan berasingan. Kenapa kuasa perlu diasingkan? Jika kuasa hanya termaktub pada suatu badan sahaja.

Badan tersebut memiliki semua kuasa untuk memerintah negara; menggubal undang-undang, menguatkuasakan undang-undang dan memutuskan maksud undang-undang tersebut apabila berlakunya pertikaian.

Kalau hak seorang individu itu dicabul oleh badan tersebut, badan yang sama juga akan menentukan sama ada terdapat pencabulan. Ini sudah tentu tidak adil.

Maka sebab itu, kuasa dibahagikan kepada badan-badan yang diwujudkan di dalam sesebuah negara. Badan Perundangan, seperti Parlimen, yang menggubal undang-undang.

Badan Eksekutif, seperti kerajaan yang melaksanakan undang-undang. Badan Kehakiman pula yang mentafsir undang-undang.

Ketiga-tiga badan ini mempunyai fungsi dan tanggungjawab mereka sendiri. Kuasa mereka juga terhad dan mereka memainkan peranan sebagai sekat dan imbang, atau dalam bahasa Inggeris, check and balance terhadap satu sama lain.

Ini bermakna setiap institusi akan bertindak untuk menyemak atau mengawas institusi-institusi yang lain. Tidak ada satu pun yang mempunyai kuasa mutlak.

Inilah yang dikenal sebagai konsep pemisahan kuasa di dalam sesebuah negara.

Tanggungjawab paling penting Badan Kehakiman adalah untuk meluhurkan Perlembagaan, memastikan semua pihak mematuhi Perlembagaan.

Hanya Badan Kehakiman mempunyai kuasa untuk memberi tafsiran kepada Perlembagaan dan menentukan sama ada undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau tindakan Eksekutif adalah mengikut Perlembagaan dan sah.

Melalui kuasa ini, kehakiman boleh menyemak apa-apa penyalahgunaan kuasa oleh Eksekutif dan Parlimen dan boleh memelihara kebebasan asasi kita.

Boleh disimpulkan bahawa Badan Kehakiman adalah benteng terakhir dan pelindung kebebasan asasi sesebuah negara.

Kerana itu, kebebasan dan integriti Badan Kehakiman begitu penting bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan kebebasan asasi terpelihara.

Sekiranya Badan Kehakiman tidak bebas, ia tidak boleh menjalankan tanggungjawabnya yang dimandat Perlembagaan.

Jika rakyat tidak mempunyai kepercayaan kepada Badan Kehakiman, jika rakyat berasakan mahkamah tidak dapat melindungi atau menegakkan hak mereka, mereka tidak akan menghormati badan-badan seperti institusi kehakiman.

Rakyat akan mencari jalan lain untuk mendapatkan keadilan yang mereka tuntut dan ini akhirnya akan mengakibatkan keruntuhan sistem undang-undang negara dan membawa kesan kepada negara dan masyarakat.

*Penulis seorang peguam muda yang mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.