PADA 25 November 2016, mahkamah rayuan telah membuat keputusan penting mengenai akta hasutan. Panel mahkamah rayuan yang terdiri daripada hakim mahkamah rayuan Datuk Varghese George Varughese, Datuk Lim Yee Lan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan bahawa Seksyen 3(3) akta tersebut, yang menyatakan bahawa niat seseorang tertuduh adalah tidak relevan dalam membuktikan pertuduhan hasutan, adalah tidak mengikut Perlembagaan.

Rayuan tersebut dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor mewakili kawasan Dun Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei. Beliau mencabar keperlembagaan seksyen tersebut di mahkamah tinggi apabila beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan berkenaan dengan suatu rencana yang disiarkan di blognya. Pada peringkat mahkamah tinggi, permohonannya untuk suatu pengisytiharan bahawa Seksyen 3(3) adalah tidak mengikut Perlembagaan telah ditolak, maka beliau telah merayu ke mahkamah rayuan.

 Akta hasutan mewujudkan kesalahan ‘menghasut’ iaitu membuat apa-apa yang mempunyai ‘kecenderungan menghasut’. Ini termasuklah apa-apa perbuatan, ucapan, perkataan atau penyiaran yang mempunyai kecenderungan tersebut.

Apa pula yang ditakrifkan sebagai ‘kecenderungan menghasut’? Ia adalah, antara lain, kecenderungan membangkitkan perasaan benci atau tidak suka terhadap mana-mana raja atau kerajaan, mengembangkan permusuhan di antara kaum atau golongan penduduk, menimbulkan perasaan perasaan tidak puas hati atau tidak suka dalam kalangan rakyat dan juga menyoal peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Akta hasutan sering dikritik dan kritikan terbesar adalah niat seseorang itu tidak relevan, atas sebab Seksyen 3(3). Maknanya, walaupun tertuduh tidak mempunyai niat untuk menghasut atau melakukan perkara yang dikatakan menghasut itu secara tidak sengaja, ia tidak membawa kesan kepada kes tersebut.

Secara umumnya, suatu kesalahan jenayah mempunyai dua unsur; tindakan bersalah (dalam bahasa Latin, actus reus) dan niat bersalah (mens rea). Namun, bagi pertuduhan bawah akta hasutan, hanya tindakan bersalah perlu dibuktikan.

 Akta hasutan adalah suatu sekatan ke atas hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan membenarkan Parlimen untuk mengenakan sekatan yang difikirkan perlu atau sesuai ke atas hak bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Oleh itu, mahkamah rayuan dalam kes Mat Shuhaimi Shafiei perlu menentukan sama ada sekatan ini adalah sesuatu yang berkadar dengan matlamat sekatan yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Inilah yang dikenali sebagai ujian berkadaran atau dalam bahasa Inggeris, proportionality test. Sesuatu tindakan yang berkadar adalah tindakan yang diambil untuk mencapai matlamat. Selebihnya, tindakan itu sudah tidak berkadar lagi.

 Mahkamah rayuan mendapati bahawa Seksyen 3(3) tidak menepati ujian berkadaran ini. Tidak ada asas sah atau justifikasi untuk kewujudan Seksyen tersebut, apatah lagi dalam jenayah-jenayah yang lebih teruk, niat masih perlu dibuktikan.

Mahkamah rayuan juga mendapati bahawa Seksyen 3(3) melanggar jaminan kesaksamaan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu, bercanggah dengan Perlembagaan.

 Mahkamah rayuan juga mengingatkan peranan mahkamah untuk memastikan seseorang yang dituduh di bawah akta tersebut mempunyai penentuan yang adil bagi pendakwaan terhadapnya dari segi prosedur dan pembuktian.

Harus dinyatakan juga bahawa pihak kerajaan masih boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan ini.

 Keputusan mahkamah rayuan ini wajar dipuji. Buat masa ini, akta hasutan masih tergolong dalam undang-undang negara, tetapi sekurang-kurangnya dengan keputusan mahkamah rayuan ini, unsur-unsur yang paling zalim dalam akta tersebut telah dikurangkan.

 Pada masa yang sama, kempen untuk memansuhkan akta hasutan perlu diteruskan supaya suatu hari nanti negara kita akan bebas daripada akta lapuk ini.