PADA 7 Mei 2015, rakyat United Kingdom (UK) telah membuang undi untuk memilih ahli-ahli Parlimen ke-56 United Kingdom.

Terdapat 650 kawasan Parlimen di seluruh UK, yang terdiri daripada England, Wales, Scotland dan Ireland Utara.

Para pengundi mengundi untuk menghantar seorang wakil ke House of Commons, salah satu daripada dua dewan perundangan yang ada di Parlimen United Kingdom.

Keputusan PRU UK adalah memeranjatkan. Parti Conservative (juga dikenali sebagai Tory) berjaya mencapai majoriti Parlimen dengan memenangi 331 kerusi.

Ketua parti tersebut, David Cameron, yang sebelum ini merupakan Perdana Menteri UK di dalam sebuah kerajaan campuran dengan Parti Liberal Demokrat, telah dilantik semula menjadi perdana menteri, kali ini dengan sebuah kerajaan Tory yang mempunyai majoriti mudah.

 Sistem perundangan dan pilihan raya kita diwujudkan mengikut sistem di UK. Walaupun politik kita berbeza dengan politik di sana, namun penulis percaya bahawa masih ada perkara yang kita boleh jadikan teladan daripada PRU di UK.

Antara topik perbualan utama yang berbangkit selepas selesainya PRU di UK adalah mengenai perbezaan pungutan suara atau opinions polls yang dibuat sebelum PRU dan keputusan PRU itu sendiri.

Pungutan suara yang telah diadakan meramalkan bahawa dua parti terbesar, Konservatif dan Buruh, keduanya akan memenangi bilangan kerusi yang hampir sama dan tidak ada satu parti yang akan mencapai majoriti mudah.
Juga diramalkan bahawa akan wujudnya Parlimen tergantung atau hung Parliament dan kerajaan campuran sekali lagi akan terbentuk. Tetapi ramalan ini jauh tersasar, kerana telah terbukti bahawa Tories berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Perbezaan di antara pungutan suara dan keputusan sebenar menunjukkan sama ada pengundi menukar pilihan mereka pada hari mengundi, atau tidak berterus-terang dengan pihak yang melangsungkan pungutan suara.

Apa pun sebabnya, pihak yang mengadakan pungutan suara wajar melihat semula kaedah mereka untuk memperbaikinya pada masa hadapan, tidak kira sama ada di UK mahupun di Malaysia.

Kelemahan sistem mengundi first past the post juga telah didedahkan semasa PRU ini. Parti berhaluan kanan, United Kingdom Independent Party (Ukip) berjaya mendapat 12.6 peratus undi popular tetapi hanya berjaya memenangi suatu kerusi di House of Commons.

Bandingkan ini dengan parti ke-4 terbesar di Parlimen, Parti Liberal Demokrat, yang hanya berjaya meraih 7.9 peratus undi popular tetapi berjaya mendapat lapan kerusi Parlimen.

Di UK, berbanding dengan di Malaysia, isu-isu seperti gerrymandering dan malapportionament tidak timbul, maka percanggahan di antara undi popular dan kerusi yang dimenangi adalah disebabkan sistem first past the post ini.

Jika sistem yang lain yang digunakan, sudah tentu sebuah parti seperti Ukip akan mendapat lebih banyak kerusi kerana undi popular akan berkadar dengan kerusi yang dimenangi.

Sistem first past the post ini juga diguna pakai di Malaysia. Perlukah kita melihat semula sistem ini pada masa hadapan?

Untuk beberapa parti politik yang bertanding, PRU 2015 mencatatkan prestasi yang buruk buat mereka. Parti Ukip, walaupun suatu parti baharu dan berjaya meraih sebegitu banyak undi, masih hanya memenangi satu kerusi.

Parti Buruh, yang menjangkakan bahawa mereka akan membentuk kerajaan campuran pula lebih teruk berbanding PRU sebelum ini. Manakala Liberal Demokrat hilang 48 kerusi dan hanya berjaya mempertahankan lapan kerusi dan hilang 15 peratus undi popular.

Ketua parti-parti ini semua telah meletak jawatan, memikul tanggungjawab prestasi parti masing-masing. Amalan ini langsung tidak wujud dalam budaya politik kita, malangnya.

Ini adalah di antara pengajaran daripada PRU 2015 di UK. Kita mungkin berbeza budaya, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh belajar daripada apa yang terjadi di sana.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur