DUA minggu lepas, majoriti rakyat United Kingdom telah mengundi untuk membawa keluar United Kingdom (UK) dari Kesatuan Eropah (EU) (dikenali sebagai ‘Brexit’) dalam suatu pungutan suara atau referendum yang bersejarah.

Dalam keputusan akhir, kira-kira 17.4 juta (52 peratus) pengundi memilih untuk 'keluar' manakala 16.1 juta (48 peratus) ingin 'kekal'. Walaupun majoriti tidak besar, tetapi ia tetap merupakan suatu keputusan yang jelas.

Peratusan keluar mengundi adalah tinggi berbanding referendum yang lain iaitu pada 72.6 peratus. Untuk perbandingan, peratusan keluar mengundi bagi referendum sebelum ini, iaitu referendum untuk menentukan sistem pengundian semasa pilihan raya hanyalah 42 peratus.

Manakala Pilihan Raya Umum tahun 2015 di UK pula mempunyai peratusan keluar mengundi sebanyak 66.4 peratus.

Dua perkara telah berbangkit daripada keputusan referendum tersebut. Pertama, media telah melaporkan bahawa terdapat ramai pengundi yang mengundi untuk 'keluar' kini menyesali tindakan mereka.

Mereka menyangka bahawa undi mereka tidak akan membawa apa-apa kesan, kerana mereka menyangka keputusan akan memihak untuk terus bersama EU. Apabila berhadapan dengan realiti yang tidak menentu dengan Brexit, mereka mahu menukar undi jika diberi peluang.

Perkara kedua adalah perasaan pengundi muda bahawa majoriti pengundi tua yang telah memberikan kemenangan kepada 'keluar'. Orang muda di UK telah meluahkan perasaan mereka di media sosial.

Ada yang marah, ada yang kecewa dengan keputusan referendum itu. Ramai yang mengadakan protes di London sebagai tanda bantahan. Ada yang menyatakan bahawa sekiranya umur undian diturunkan kepada 16 tahun (dari 18 tahun), mungkin keputusan akan berbeza.

Tinjauan yang dilakukan pada hari referendum tersebut menunjukkan bahawa 73 peratus pengundi berumur 18-24 tahun mengundi menolak Brexit, sementara 62 peratus bagi pengundi berumur 35-44 mengundi untuk menolak Brexit. Mereka yang berumur 45 tahun ke atas pula majoriti menyokong Brexit dan ini meningkat kepada 60 peratus bagi mereka berumur 66 tahun ke atas.

Walaupun pungutan suara ini bukanlah tepat seratus peratus, tetapi ia menunjukkan bahawa pengundi muda majoritinya menolak Brexit dan mengundi untuk 'kekal'. Mereka mahukan masa hadapan bersama dengan Kesatuan Eropah, tetapi pada mereka, masa hadapan ini telah dinafikan oleh pengundi tua.

Malangnya, tinjauan yang dilakukan juga menunjukkan bahawa peratusan pengundi muda yang keluar mengundi dalam referendum tersebut juga rendah berbanding dengan pengundi tua.

Referendum EU ini wajar dijadikan pengajaran buat kita di Malaysia.

Pertama, kita jangan sekali-kali menganggap bahawa undi kita itu tidak bermakna. Setiap undi adalah bernilai dan penting; menang tewas pilihan raya kadang kala bergantung kepada margin yang begitu kecil.

Lebih penting lagi, referendum di UK ini wajar dijadikan teladan buat orang muda di Malaysia.

Jika anda tidak mendaftar untuk mengundi dan jika anda tidak keluar mengundi, anda akan biarkan orang tua menentukan masa hadapan anda.

Jika anda anggap mengundi itu ‘politik sahaja’, dan ‘politik sahaja’ tidak penting, anda akan sedar suatu hari nanti bahawa negara anda menghala ke suatu masa hadapan yang anda tidak mahukan. Masa hadapan di mana negara dibelenggu dengan hutang, ekonomi yang lembab, kos kehidupan yang tinggi, pengangguran dan rakyat yang terpisah akibat sentimen bangsa dan agama.

Pada masa itu, mungkin nasi sudah pun menjadi bubur kerana anda tidak menyertai proses politik negara. 

* Penulis seorang peguam di sebuahy firma guaman di Kuala Lumpur