WUJUD suatu persepsi dalam kalangan umum bahawa pihak berkuasa lebih berminat mencari mereka yang mendedahkan kesalahan yang berlaku, dan bukannya mereka yang benar-benar melakukan kesalahan. Dalam erti kata lain, pihak berkuasa ‘menembak’ si pemberi maklumat, atau dalam bahasa Inggeris, ‘whistleblowers’, dan bukannya si pesalah.

Tidak dinafikan bahawa kadangkala, pendedahan maklumat oleh pemberi maklumat juga salah di sisi undang-undang. Undang-undang kita penuh dengan peruntukan yang menjadikan ia suatu kesalahan bagi seseorang individu yang mendedahkan maklumat yang mereka miliki. Contohnya, Akta Rahsia Rasmi atau OSA, menjenayahkan pendedahan maklumat yang diklasifikasikan sebagai ‘rahsia rasmi’ oleh orang yang tidak diberi kuasa. Kanun Keseksaan pula menjadikan ia suatu jenayah sekiranya seseorang yang berkhidmat sebagai penjawat awam mendedahkan maklumat tanpa kebenaran.

Maklumat-maklumat berkenaan dengan akaun bank pula dilindungi oleh undang-undang yang menjenayahkan mereka yang memberikan maklumat tersebut kepada orang lain tanpa kebenaran.

Pemberi maklumat selalunya adalah mereka yang berada di dalam organisasi atau struktur sesuatu badan yang mendapat maklumat tersebut melalui kerja mereka. Untuk menggalakkan mereka tampil ke hadapan dengan maklumat yang mereka ada, harus terdapat suatu mekanisme yang melindungi mereka sekiranya tampil ke hadapan. Ini kerana, mereka terpaksa menghadapi risiko yang tinggi dalam mendedahkan maklumat dan sekiranya tidak dilindungi, mereka mungkin tidak tampil ke hadapan.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, atau dalam bahasa Inggeris Whistleblower Protection Act, dikatakan memberi perlindungan tersebut. Namun demikian, akta ini sebenarnya tidak efektif dalam melindungi pemberi maklumat.

Ini kerana, pemberi maklumat tidak akan dilindungi sekiranya pendedahan maklumat itu bercanggah dengan apa-apa undang-undang bertulis. Maka sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mendedahkan maklumat yang dilindungi sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah Akta Rahsia

Rasmi, maka perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat tidak terpakai, walaupun maklumat yang menjadi rahsia rasmi itu mengandungi maklumat penting yang boleh membongkar penyelewengan atau salah guna kuasa.

Pendedahan tersebut juga harus dibuat kepada suatu badan penguatkuasaan, seperti polis, imigresen dan sebagainya. Sekiranya dibuat kepada umum, contohnya, maka perlindungan ini juga tidak terpakai. 

Tetapi badan-badan yang berkuasa di dalam negara ini sedang mengalami krisis keyakinan. Umum tidak mempunyai kepercayaan, sama ada benar atau tidak, bahawa suatu siasatan yang bebas dan terperinci akan dijalankan, lebih-lebih lagi jika kesalahan itu dilakukan di dalam badan itu sendiri. Dengan terdapatnya krisis keyakinan ini, maka pemberi maklumat akan memikir beberapa kali sama ada mereka ingin mendedahkan kepada badan-badan tersebut. Mereka mungkin terasa lebih ‘selamat’ mendedahkannya terus kepada umum melalui ahli politik atau media.

Kita sewajarnya menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan memindanya bagi memastikan keberkesanannya. Akta ini harus benar-benar berkesan dalam melindungi pemberi maklumat. Dalam masa sama, pihak berkuasa juga harus jelas apa yang patut diutamakan; menyiasat si pemberi maklumat atau si penyeleweng atau si perasuah. Ya mungkin pemberi maklumat itu telah melakukan kesalahan, tetapi apa yang patut diutamakan adalah untuk menyiasat kesalahan yang telah didedahkan dan bukannya menyiasat dan mendakwa si pemberi maklumat. Pihak berkuasa sepatutnya fokus pada perkara yang lebih besar seperti penyelewengan dan salah guna kuasa, bukannya isu yang lebih kecil seperti pendedahan yang tidak diluluskan.

Malangnya, pendedahan-pendedahan yang dibuat mutakhir ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa seakan-akan mahu ‘menembak’ pemberi maklumat, dan bukannya menyiasat maklumat itu sendiri. 
 
* Penulis seorang peguam di Kuala Lumpur