BARU-baru ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan seorang kerani bank, Johari Mohamad telah disabitkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) dan dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mereka didapati bersalah berkenaan pendedahan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC).

Sabitan dan hukuman ke atas Rafizi dan Johari menerima nasib berbeza dengan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang telah dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah sesyen dua tahun lepas apabila pihak pendakwaan tidak lagi mahu meneruskan pendakwaan terhadapnya.

Ia menimbulkan persepsi bahawa pihak pendakwa raya lebih berminat untuk menghukum pemberi maklumat atau whistleblower, daripada mereka yang dituduh melakukan rasuah atau penyelewengan.  

Pemberi maklumat selalunya adalah mereka yang berada di dalam organisasi atau struktur sesuatu badan yang mendapat maklumat tersebut melalui kerja mereka.

Untuk menggalakkan mereka tampil ke hadapan dengan maklumat yang mereka ada, harus terdapat suatu mekanisme yang melindungi mereka sekiranya mereka tampil ke hadapan.

Ini kerana, mereka terpaksa menghadapi risiko yang tinggi dalam mendedahkan maklumat dan sekiranya tidak dilindungi, mereka mungkin tidak tampil ke hadapan.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, atau dalam bahasa Inggeris, Whistleblower Protection Act digubal untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat. Namun demikian, akta ini sebenarnya tidak efektif dalam melindungi pemberi maklumat.

Ini kerana, pemberi maklumat tidak akan dilindungi sekiranya pendedahan maklumat itu bercanggah dengan apa-apa undang-undang bertulis.

Maka sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mendedahkan maklumat yang dilindungi sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah Akta Rahsia Rasmi, maka perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat tidak terpakai, walaupun maklumat yang menjadi rahsia rasmi itu mengandungi maklumat penting yang boleh membongkar penyelewengan.

Dalam konteks Rafizi dan Johari, oleh kerana apa yang mereka lakukan itu bercanggah dengan peruntukan Bafia, maka perlindungan yang sewajarnya diberikan kepada mereka tidak dalam NFC tidak langsung membantu mereka.

Parlimen sewajarnya menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan memindanya bagi memastikan keberkesanannya. Akta ini harus benar-benar berkesan dalam melindungi pemberi maklumat.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa juga harus jelas apa yang patut diutamakan; menyiasat si pemberi maklumat atau si penyeleweng atau si perasuah.

Ya mungkin pemberi maklumat itu telah melakukan kesalahan, tetapi apa yang patut diutamakan adalah untuk menyiasat kesalahan yang telah didedahkan dan bukannya menyiasat dan mendakwa individu yang memberi maklumat.

Oleh itu, pemberi maklumat dalam apa jua bentuk dan keadaan wajar mendapat perlindungan akta tersebut, walaupun sekiranya dalam memberi maklumat itu mereka telah melanggar undang-undang.

Pihak pendakwa raya juga disarankan untuk menggunakan budi bicara dengan memberi tumpuan kepada maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat, dan bukannya mencari dan menghukum mereka yang memberi maklumat. Jika tidak, persepsi negatif orang ramai akan berterusan.