BARU-baru ini, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan keputusan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari negara Bangladesh. Ini berikutan suatu memorandum kesefahaman yang dimeterai di antara Malaysia dan Bangladesh.

Menurut Kementerian Dalam Negara, jumlah pekerja tersebut diperlukan di dalam sektor yang dikenali sebagai ‘3D’ iaitu bahaya, kotor dan sukar mendapat sambutan daripada rakyat negara ini. Juga dilaporkan bahawa kemasukan ini adalah atas permintaan majikan-majikan di Malaysia.

Apa pun sebabnya, pengumuman ini rata-rata disambut negatif oleh rakyat. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, apatah lagi di mana ramai rakyat di luar sana tidak mempunyai pekerjaan, keputusan kerajaan untuk membawa masuk begitu ramai pekerja asing dari Bangladesh dilihat sebagai satu langkah yang tidak tepat.

Ada yang persoalkan mengapa tidak diberi peluang pekerjaan tersebut kepada warganegara, lebih lagi yang muda? Ada juga bertanyakan mengapa tidak diberi sahaja peluang pekerjaan tersebut kepada golongan pelarian dan mereka yang tidak mempunyai dokumentasi yang sedia ada di dalam negara.

Ada juga yang curiga, dan memikirkan terdapatnya ‘udang’ di sebalik ‘batu’. Adakah ianya untuk tujuan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang? Ataupun ia bertujuan memberi ‘rezeki’ kepada kroni melalui levi yang dikenakan?

Penulis memahami keresahan rakyat tentang isu ini. Banyak sebenarnya persoalan yang berbangkit, yang masih tidak dijawab oleh pihak kerajaan. Respons mereka tidak memuaskan dan menyebabkan rakyat merasa lebih marah.

Tetapi pada masa sama, kemarahan kita itu wajar disalurkan pada pihak yang bertanggungjawab. Janganlah sampai kita marah pada kerajaan, kita sampai kita lepaskan pula kepada semua pekerja asing di negara ini, ataupun pada warga Bangladesh yang sedia ada.

Jangan kerana kita marah, kita bersifat xenofobik, rasis dan prejudis dalam hal ini. Contohnya, seorang warga Nepal telah dipukul oleh seorang warga tempatan baru-baru ini kerana dikatakan telah meraba isterinya. Penulis faham perasaan warga tempatan tersebut dan dalam keadaan yang sama, sesiapa pun akan bertindak sedemikian.

Apa yang penulis ingin bangkitkan di sini adalah respons terhadap peristiwa itu, di mana ada yang menggunakannya sebagai ‘bukti’ bahawa orang Nepal datang ke sini membuat hal. Kalau betul pun seorang warga Nepal telah membuat onar terhadap warga tempatan, kita tidak boleh golongkan semua warga Nepal atau warga asing sebagai penjenayah.

Dilaporkan juga sebuah NGO tempatan yang membuat dakwaan liar bahawa pekerja asing ini akan datang ke Malaysia dan mengancam keselamatan dan kesihatan warga tempatan, seperti membawa masuk penyakit, gejala sosial, budaya luar, mencabul wanita tempatan dan akhir sekali mengembangkan ideologi terrorisme di negara ini.

Dakwaan-dakwaan ini akan menggalakkan rasisme, prejudis dan xenofobia di kalangan rakyat. Apatah lagi apabila ia dibuat tanpa bukti. Majoriti pekerja asing datang ke sini untuk mencari rezeki, bukannya untuk membuat masalah.

Bila berlakunya pencabulan lebih kurang 1,000 wanita di Cologne, Jerman yang dilaporkan dilakukan oleh kalangan orang berketurunan Arab/Timur Tengah, kita tidak suka apabila orang di Eropah mendakwa bahawa inilah gejala yang dibawa oleh pelarian/migran/orang Islam yang masuk ke Eropah.

Kita juga marah apabila Donald Trump mengatakan bahawa beliau mahu ‘mengharamkan’ umat Islam daripada Amerika Syarikat kerana menurutnya orang Islam membawa masalah kepada negara tersebut.

Tetapi pada masa yang sama, kita menggunakan bahasa yang sama dengan orang seperti Donald Trump, Geert Wilders, UKIP dan gelombang sayap kanan yang lain makin mendapat sokongan di Barat mutakhir ini terhadap warga asing.

Apa beza kita dengan mereka?

 

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur