KITA kini berada dalam tahun 2018. Tahun 2017 telah pun melabuhkan tirainya. Dan seperti pernah dilakukan sebelum ini, penulis akan melihat semua peristiwa yang telah berlaku pada tahun 2017 yang memberi impak ke atas undang-undang dan hak asasi manusia.

Berbanding dengan tahun-tahun sudah, 2017 tidak melihat undang-undang baharu yang kontroversi diluluskan oleh Parlimen. Sebelum ini ada ura-ura bahawa kerajaan akan memperkenalkan rang undang-undang untuk mengawal portal berita atas talian, tetapi ia tidak berlaku. Cadangan untuk meminda Akta Profesion Guaman yang dibangkitkan pada 2016 juga tidak kelihatan pada tahun 2017 selepas tentangan Bar Malaysia dan para peguam.

Cadangan Rang Undang-undang untuk meminda Akta 355 juga tidak diluluskan mahupun dibahaskan. Kali terakhir adalah pada April 2017, di mana usul telah dibentangkan tetapi ia kemudiannya ditangguhkan kepada sidang yang akan datang, tetapi pada sidang-sidang seterusnya tidak ada perkembangan selanjutnya. Melihat kepada kalender Parlimen tahun 2018, dan juga pilihan raya umum yang bakal tiba, mungkin sekali ia tidak akan dibahaskan sebelum PRU.

Kontroversi undang-undang yang paling besar dalam tahun 2017 sudah tentu adalah lanjutan tempoh khidmat Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin selepas tarikh persaraan mandatori yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kerajaan, mereka berdua dilantik semula di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan sebagai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan tambahan.

Namun demikian, pelbagai pihak, termasuk Bar Malaysia mengambil pendirian bahawa Perkara 122(1A) tersebut tidak membenarkan hakim-hakim tambahan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dan melihat lanjutan tempoh perkhidmatan itu sebagai suatu yang tidak mengikut Perlembagaan.

Bar Malaysia telah pun meluluskan satu resolusi semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa yang telah diadakan untuk membantah perkara ini. Antara lain, resolusi itu memberi kuasa kepada Majlis Peguam untuk membawa prosiding undang-undang untuk mencabar lanjutan tempoh perkhidmatan.

Menurut laporan juga, Majlis Peguam telah pun memfailkan prosiding undang-undang tersebut, dan baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah merujuk perkara ini kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan. Kita mungkin sekali akan melihat bagaimana Mahkamah Persekutuan mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan isu ini pada tahun 2018.

Tahun 2017 juga melihat konklusi cabaran-cabaran mahkamah yang difailkan oleh pelbagai pihak, terhadap cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermula pada tahun 2016.

Cabaran undang-undang yang terbesar difailkan oleh kerajaan negeri Selangor. Pada satu masa, kerajaan Selangor berjaya mendapatkan perintah untuk menghalang SPR daripada meneruskan proses tersebut sehinggalah selesai prosiding mahkamah.

Namun demikian, beberapa keputusan mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa proses ini tidak boleh dicabar di mahkamah. Maka, kini SPR telah meneruskan proses tersebut dan ia dijangka selesai tahun ini sebelum PRU.

Akhir sekali, 2017 juga melihat Mahkamah Persekutuan memberikan suatu keputusan penting dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd lawan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan masih termaktub dengan mahkamah, walaupun dengan pindaan terhadap Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988.

Ini bermakna, Parlimen tidak boleh mengehadkan atau mengecualikan bidang kuasa mahkamah melalui undang-undang Persekutuan.

Keputusan dalam kes ini dijangka memberi kesan yang mendalam. Ia mengesahkan peranan dan tanggungjawab mahkamah dalam konteks negara dan Perlembagaan.  

Ini adalah antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang tahun lepas. Tahun 2018 adalah tahun PRU, dan dijangka lebih banyak isu yang akan berbangkit kelak.