8 MAC lepas, genaplah 10 tahun sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008. PRU yang dikatakan berlakunya ‘tsunami politik’, di mana hanya untuk kali keduanya dalam sejarah politik tanah air, Barisan Nasional gagal menguasai dua pertiga kerusi Parlimen.

Penulis masih ingat lagi hari bersejarah tersebut. Penulis adalah sebahagian daripada ‘generasi reformasi’, generasi muda yang menyaksikan dan dimatangkan oleh peristiwa penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh perdana menteri pada ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.

Walau apa pun pendapat kita tentang peristiwa tersebut, tidak boleh dinafikan bahawa ia merupakan suatu yang telah membentuk pegangan dan pendapat politik generasi tersebut.

PRU12 adalah yang pertama bagi generasi ini. Pada ketika itu juga, internet menjadi medan kritikan terhadap kerajaan.

Blog berleluasa, dan suasana pada ketika itu juga disumbangkan oleh dasar perdana menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lebih terbuka.

Kerajaan pada masa itu dilihat penuh dengan kelemahan, walaupun dengan mandat yang besar yang diberikan pada PRU11.

 Ramai yang menganggap bahawa kerajaan pada ketika itu sudah menjadi angkuh dan tidak ada checks and balances terhadap mereka kerana bilangan ahli parlimen pembangkang begitu sedikit.

Maka ramai yang membuang undi pada PRU12 berbuat demikian untuk memberikan lebih banyak suara pada pihak pembangkang, supaya kerajaan tidak terlalu berkuasa.

Penulis masih ingat lagi perasaan membuang undi buat kali pertama.  Kepuasan yang dirasai apabila menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia dan terlibat dalam proses demokrasi tanah air.

Ditambah pula dengan dengan perasaan sebagai seorang yang tergolong dalam generasi reformasi; setelah sekian lama menjadi saksi pada liku-liku politik tanah air, akhirnya kami dapat menyumbang secara terus dalam pilihan raya memilih wakil rakyat dan kerajaan.

Namun, tidak ada sesiapa yang dapat menjangkakan keputusan akhir PRU tersebut.

Tanda-tanda terawal bahawa PRU kali itu adalah berlainan dengan PRU yang sebelumnya adalah dengan berita bahawa Nurul Izzah Anwar telah menewaskan gergasi politik Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil di Lembah Pantai.

Dari situ, satu persatu berita diterima tentang kejutan-kejutan lain di seluruh negara.

Jelaslah bahawa 8 Mac 2008 adalah hari yang cukup bersejarah bagi Malaysia.

Bukan setakat Barisan Nasional gagal memenangi dua pertiga kerusi Dewan Rakyat, tetapi empat negeri telah jatuh ke tangan pakatan pembangkang, di samping Kelantan yang kekal bersama kerajaan Pas.

Di ambang PRU14, ramai yang sudah berasa lesu dan kecewa dengan politik negara.

Ramai juga yang tidak mahu mengundi lagi. Semua kerana suhu politik tanah air yang bagai tidak menyejuk sejak 8 Mac 2008.

Banyak yang telah berlaku semenjak 8 Mac 2008. Negara telah pun melalui satu lagi PRU dan bakal melalui PRU yang ke-14.

Tetapi tidak keterlaluan jika dibuat kesimpulan bahawa tarikh 8 Mac 2008 menjadi suatu detik penting dalam sejarah kita dan merupakan anjakan paradigma dalam pendemokrasian rakyat dan pembinaan negara bangsa.

Ia bukan tentang Barisan Nasional atau pakatan pembangkang, tetapi tentang pemerkasaan rakyat melalui demokrasi.

Selepas PRU12, rakyat Malaysia semakin sedar akan hak-hak mereka yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat Malaysia juga sedar bahawa undi mereka mempunyai nilai dan perubahan positif yang boleh dilakukan melalui peti undi.