SEWAKTU timbul isu dobi ‘Mesra Muslim’, yang hanya membenarkan orang Islam menggunakan dobi tersebut, saya berada di Kota Kinabalu dengan beberapa sahabat rapat.

Tujuan kami di sana adalah untuk makan angin. Kami semua sudah berkahwin dan berkeluarga, tetapi setiap tahun kami akan bercuti bersama untuk beberapa hari.

Saya mengenali sahabat-sahabat ini sejak di bangku sekolah. Kami bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di Jalan Gasing, Petaling Jaya. Kehidupan kami sudah berubah selepas meninggalkan sekolah dan mengambil jalan hidup yang berasingan, tetapi ikatan persahabatan yang kami tempa masih utuh sehingga kini.

Kami semua berlainan ras dan agama, dan kami sedar akan perbezaan-perbezaan di antara kami. Namun perbezaan-perbezaan ini diraikan dan tidak memisahkan kami. Kami menganggap bahawa kami semua ‘bersaudara’, walaupun dengan perbezaan yang ada.

Di Kota Kinabalu, kami berkongsi sebuah bilik. Kami tidur dan bertukar pakaian di bilik tersebut, walaupun bilik tersebut cukup besar untuk kami, namun ia masih sebuah bilik dengan hanya sebuah bilik mandi dan tandas. Yang beragama Islam juga bersolat di bilik tersebut, tanpa apa-apa bantahan daripada yang bukan beragama Islam. Malahan semasa kami bersolat, yang bukan Islam dengan hormat memperlahankan suara mereka, walaupun ia tidak diminta oleh yang Muslim.

Tidak pernah terlintas di minda kami untuk mengasingkan bilik tersebut kepada bahagian Muslim dan bukan Muslim. Kami tidak pernah terfikir bahawa bilik tersebut tidak suci hanya kerana kami berkongsi dengan bukan Muslim. Di antara kami, tiada prejudis dan syak wasangka.

Alasan wujudnya dobi mesra Muslim tersebut adalah untuk memastikan kesucian. Bahawa bukan Muslim tidak suci, dan tidak ada cara untuk memastikan bahawa pakaian yang mereka cuci bebas daripada najis, maka sebab itu perlunya ada dobi yang khusus untuk Muslim.

Ada juga yang mengatakan bahawa dobi tersebut adalah amalan Islam, walaupun sebenarnya tiada dalil untuk menyokong hujah sedemikian.

Dobi mesra Muslim tersebut dikhabarkan bukan lagi khusus untuk Muslim sahaja. Walaupun ia adalah perkembangan yang baik, kita tidak boleh nafikan bahawa isu-isu seperti ini semakin kerap bangkit, sehinggakan baru-baru ini Majlis Raja-Raja terpanggil untuk mengeluarkan suatu kenyataan menzahirkan kekhuatiran mengenai isu-isu yang memecahbelahkan rakyat.

Saya bersyukur kerana mempunyai rakan-taulan daripada pelbagai latar belakang, ras dan agama. Pengalaman saya juga bukanlah unik; ramai rakyat Malaysia yang menempa ikatan melangkaui garisan etnik dan kepercayaan seperti saya.

Malangnya, mutakhir ini yang menjadi topik perbualan adalah perbezaan dan garis ketegangan yang semakin kerap bangkit.

Kita sebenarnya tidak boleh membiarkan masyarakat terus dipisahkan dengan isu-isu ras dan agama. Sudah terlalu lama kita semua hidup bersama di negara ini. Prejudis dan syak wasangka tidak boleh memutuskan talian di antara kita.

Walau apa jua cara sekalipun, kita mesti sama-sama mengatasi prejudis dan syak wasangka di antara kita. Semua pihak harus memainkan peranan, termasuklah pemimpin-pemimpin politik kita.

Apabila isu seperti ini berbangkit yang membuat saya risau tentang kepelbagaian negara kita, saya akan teringat pada saudara-saudara saya, sahabat handai sejak di bangku sekolah. Jika kami boleh mengatasi prejudis dan syak wasangka, orang lain juga boleh berbuat demikian. Kita hanya perlu melihat kepada persamaan yang ada, dan bukannya fokus pada perbezaan sahaja.

*Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur