MINGGU lepas, saya dijemput untuk menjadi salah seorang panel dalam forum Wacana Sinar Harian ‘Pelan Pemimpin Muda Untuk Negara’, bersama-sama dengan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pemuda Bersatu dan ahli Parlimen Muar, Sdr Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Malaysia dan moderator Sdr Amin Idris.

Topik perbincangan adalah pengajaran bagi pemimpin muda daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan juga pelan untuk masa hadapan dengan adanya ‘Malaysia Baharu’ ini.

Saya berhujah bahawa keputusan PRU14 ini merupakan suatu keputusan yang menyuburkan demokrasi di Malaysia. Daripada sistem dua parti, kita sudah berjaya wujudkan sistem parti pelbagai (multi-party democracy), di mana terdapat lebih daripada dua blok atau gagasan yang kuat dan memegang kuasa.

Keputusan PRU14 juga berjaya membuatkan rakyat merasakan bahawa kuasa itu benar-benar di tangan mereka. Mereka kini sedar bahawa mana-mana parti politik yang memegang tampuk kusa harus menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, jika tidak, rakyat tidak akan teragak-agak untuk menggantikan dengan yang lain.

 Malaysia baharu juga memberikan suatu peluang keemasan untuk kita benar-benar memperkasakan rakyat. Saya katakan bahawa agenda rakyat ini harus direalisasikan melalui tiga pendekatan.

Pertama adalah dengan menyemak semula akta-akta yang menyekat kebebasan rakyat. Terdapat banyak undang-undang yang menyekat kebebasan asasi seperti Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Semua undang-undang ini perlu dipinda atau dimansuhkan sama sekali dan digantikan dengan undang-undang yang dapat merancakkan amalan demokrasi dan memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat dan memberi kritikan kepada Kerajaan.  

Namun demikian, meleburkan rantai-rantai yang mengekang dan membungkam rakyat tidak cukup. Rakyat juga harus diperkasakan dengan maklumat.

Oleh itu, saya mencadangkan bahawa media harus dibebaskan daripada kawalan pihak Kerajaan.

Ini bermaksud undang-undang seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan Akta Anti Berita Tidak Benar harus dimansuhkan. Pemilikan politik dalam syarikat media tidak menjadi masalah, asalkan Kerajaan tidak boleh mengawal media.

Bagaimana pula sekiranya pihak media melanggar etika kewartawanan? Atau sekiranya mereka menyiarkan berita yang tidak benar atau memfitnah? Undang-undang fitnah sedia ada, dan pihak yang terkesan boleh sahaja membawa tindakan mahkamah melalui saman fitnah.

Dan bagi mereka yang menyiarkan berita dengan tujuan khusus untuk menimbulkan huru-hara, masih terdapat undang-undang yang mencukupi untuk menanganinya.

Pada masa yang sama, wajar ditubuhkan suatu Majlis Media yang terdiri daripada orang-orang media sendiri. Majlis Media ini akan menentukan sama ada media atau wartawan telah melanggar etika kewartawanan.

Ini sekali gus dapat memastikan bahawa media sendiri yang mengawal diri mereka, dan bukannya dengan campur tangan pihak Kerajaan.

Setelah mendapat maklumat melalui media yang bebas, rakyat juga harus diperkasakan dengan melengkapkan mereka dengan keupayaan untuk mendapat maklumat lanjut tentang perkara-perkara pentadbiran dan kerajaan.

Oleh yang demikian, pemansuhan Akta Rahsia Rasmi adalah penting bagi menjamin keterbukaan dan ketelusan. Selari dengan itu, wajar juga digubal Akta Kebebasan Maklumat seperti yang ada di Selangor dan Pulau Pinang.

Pada saya, ketiga-tiga pendekatan ini; menyemak undang-undang yang mengekang, membebaskan media dan membebaskan maklumat akan dapat menjamin bahawa rakyat akan sentiasa memantau dan menjadi check and balance (penyemak dan pengimbang) pada kerajaan-kerajaan mereka.

Kerajaan juga mesti memastikan bahawa mereka sentiasa meletakkan agenda rakyat di hadapan. Inilah Malaysia baharu yang kita mahukan.