PUNGUTAN suara dan kajian oleh pelbagai kumpulan telah mencapai kesimpulan sama, yakni anak muda Malaysia semakin kurang berminat dan hilang keyakinan dengan politik tanah air.

Anak muda ramai yang tidak mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi dan sekiranya berdaftar sekalipun, mereka tidak merasa keperluan untuk membuang undi.

Ada yang mahu terus memboikot pilihan raya, dengan alasan bahawa semua parti politik sama belaka, dan tidak ada sebab untuk mereka mengundi.

Penulis tidak ada kelayakan untuk bercakap bagi anak muda. Tetapi bagi penulis, ahli politik dan parti politik wajar dipersalahkan bagi persepsi anak muda tentang politik.

Parti-parti politik terlalu banyak berpolitik dalam pelbagai isu dan kegagalan parti politik untuk bertutur dalam ‘bahasa’ anak muda, dilihat menyumbang kepada situasi ini.

Apabila politikus muda dibayangi dan dihalangi oleh politikus veteran, ia juga menyumbang kepada persepsi negatif anak muda.

Keputusan blok Pakatan Harapan yang dikatakan menamakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dalam lingkungan umur 90-an juga memberikan mesej yang tidak memberangsangkan.

Politikus muda perlu tampil ke hadapan. Keperluan ini semakin mendesak. Perlunya seorang personaliti politik yang boleh membuatkan anak muda peduli tentang politik dan demokrasi.

Politikus muda ini mesti boleh memahami aspirasi dan kekhuatiran, serta isu-isu yang dekat di hati anak muda Malaysia, melangkaui retorik yang sering didengari.

Politikus muda juga tidak boleh melaungkan perkara yang sama seperti pemimpin mereka yang lebih senior. Mereka perlu tahu dan faham apa yang anak muda Malaysia mahukan dan perlukan.

Parti politik juga mesti menggalakkan lebih ramai anak muda untuk menyertai saf mereka. Mereka mesti memastikan bahawa suara-suara anak muda dalam struktur politik mereka akan didengari, dan bukan hanya tenggelam.

Tetapi pada masa yang sama, masyarakat kita juga mesti menggalakkan penglibatan anak muda dalam politik. Dalam hal ini, masyarakat kita juga harus dipersalahkan kerana kita tidak memainkan peranan.

Walaupun dengan pindaan undang-undang, mahasiswa masih berhadapan dengan tindakan apabila mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti politik, hanya kerana aktiviti tersebut tidak disenangi oleh pemerintah.

Kita juga sering menyuruh mahasiswa ini untuk ‘belajar sahaja’ dan ‘jangan berpolitik’, kerana mereka mahasiswa. Walhal jika dilihat sejarah dunia dan sejarah tanah air, perubahan sosiopolitik sering kali dimulakan dan didepani oleh mahasiswa dan anak muda.

Apabila anak muda meluahkan pendapat tentang politik, kita perkecilkan dan kecam mereka, seperti apa yang berlaku pada pelakon wanita muda yang baru-baru ini mengulas tentang situasi politik tanah air.

Masyarakat kita juga semakin sinis dan prejudis apabila anak muda masuk politik. Kononnya, semua politikus sama dan semua masuk politik untuk kepentingan sendiri.

Semua ini perlu dihentikan, jika kita benar-benar mahu membuat anak muda peduli semula tentang politik.

Jika kita tidak berbuat sesuatu, suatu hari nanti anak muda akan terus persetankan politik dan demokrasi.

Jangan sampai semuanya sudah terlambat.