ANDA mungkin sekali sudah tahu bahawa Malaysia adalah sebuah persekutuan. Negara ini terdiri daripada negeri-negeri, 13 semuanya, yang menjadi suatu persekutuan.

Apa itu persekutuan? Persekutuan adalah sebuah entiti geopolitik di mana entiti-entiti kecil, seperti negeri atau wilayah, bergabung untuk membentuk suatu entiti yang lebih besar. Entiti yang lebih besar ini akan ditadbir oleh suatu kerajaan persekutuan, manakala entiti yang kecil masih mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang dan mentadbir dalam perkara-perkara tertentu.

Di Malaysia, terdapat sebuah institusi yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang bagi seluruh Malaysia iaitu Parlimen dan institusi yang mentadbir negara iaitu Kerajaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, setiap 13 negeri-negeri di Malaysia mempunyai  dewan perundangan yang menggubal undang-undang (Dewan Undangan Negeri) dan juga kerajaan negeri yang mentadbir negeri-negeri tersebut. Dun mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi negeri manakala kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mentadbir.

Perlembagaan membahagikan kuasa untuk menggubal undang-undang di antara Parlimen dan Dun. Ini bermakna Perlembagaan menyatakan jenis undang-undang yang boleh digubal Parlimen dan jenis undang-undang yang boleh digubal Dun. Inilah bidang kuasa perundangan bagi Persekutuan dan negeri-negeri.

Terdapat tiga senarai dalam Perlembagaan. ‘Senarai Persekutuan’ menyenaraikan perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa Parlimen. ‘Senarai Negeri’ menyenaraikan perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa Dun. ‘Senarai Bersama’ menyenaraikan perkara-perkara yang mana Parlimen dan Dun boleh gubal undang-undang.

Contoh perkara-perkara yang di bawah bidang kuasa Persekutuan adalah seperti hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, undang-undang sivil dan jenayah, kewarganegaraan, kewangan, perdagangan, perkapalan, pengangkutan dan perhubungan, pendidikan, perubatan dan kesihatan, kebajikan orang Asli, penerbitan dan pelancongan.

Contoh Senarai Negara pula adalah undang-undang Islam, tanah, pertanian dan hutan, kerajaan tempatan, pihak berkuasa tempatan, kerja raya negeri dan cuti negeri.

Manakala Senarai Bersama mempunyai perkara-perkara berikut, antara lain; kebajikan awam, biasiswa, perlindungan haiwan liar, perparitan, budaya dan sukan, perumahan dan warisan.

Senarai Bersama membenarkan Parlimen dan Dun untuk menggubal undang-undang untuk perkara yang sama. Asalkan undang-undang tersebut tidak bercanggah, ia boleh terus wujud dan berkuat kuasa bersama. Tetapi, sekiranya undang-undang Dun di bawah Senarai

Bersama bercanggah dengan undang-undang yang digubal Parlimen di bawah senarai tersebut, undang-undang Parlimen menjadi undang-undang yang harus dipatuhi.

Terdapat juga situasi di mana Parlimen boleh menggubal undang-undang di bawah Senarai Negeri. Contohnya, jika terdapat perisytiharan darurat, Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk apa-apa perkara dalam Senarai Negeri, kecuali undang-undang Islam, budaya Melayu, dan undang-undang anak negeri atau adat Sabah dan Sarawak. Parlimen juga boleh menggubal undang-undang di bawah Senarai Negeri jika ia adalah untuk menyelaraskan undang-undang bagi perkara tersebut di beberapa buah negeri.

Dun juga boleh menggubal undang-undang bagi perkara di bawah Senarai Persekutuan, tetapi hanya jika Parlimen telah meluluskannya. Jika tidak, Dun tidak boleh berbuat demikian.

Akhir sekali, Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan istimewa, berlainan dengan negeri-negeri lain. Ini termaktub di dalam Perlembagaan. Mereka boleh menggubal undang-undang bagi perkara-perkara yang tidak terdapat di dalam Senarai Negeri negeri-negeri lain.

Contohnya, mereka mempunyai bidang kuasa menentukan kemasukan ke dalam negeri mereka, sebab itu mereka boleh menghalang rakyat Malaysia dari negeri lain untuk masuk ke negeri mereka.

Kita harus ingat bahawa Malaysia tidak terbentuk dengan bergabungnya 13 negeri tersebut sebagai suatu persekutuan. Malaysia terbentuk apabila tiga buah negara (asalnya empat termasuk Singapura) iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah bergabung untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

 *Penulis seorang peguam yang mengamal undang-undang. Untuk mengetahui lebih lanjut boleh dapatkan Buku Panduan Rakyat yang diterbitkan oleh Kempen MyConstitution Majlis Peguam.