SEORANG ahli politik yang dikenali di Twitter baru-baru ini telah mengeluarkan tweet sebagai reaksi kepada penangkapan beberapa orang ahli politik parti pembangkang.

Tweet tersebut antara lain mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu telah melakukan kesalahan, orang itu patut dipenjarakan.

Sebagai prinsip umum, tweet tersebut tidak salah. Tetapi dalam konteks penahanan ahli-ahli politik pembangkang itu, ia tidak betul. Ini kerana penahanan mereka hanyalah suatu penahanan untuk membantu siasatan, atau dalam bahasa Inggeris, investigative detention dan bukanlah suatu hukuman selepas sabitan.

Mereka tidak didakwa di mahkamah atas apa-apa kesalahan, jadi isu sama ada beliau telah ‘melakukan kesalahan’ seperti yang ditweet langsung tidak timbul.

Menurut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, polis boleh mengikut undang-undang menahan seseorang itu selama 24 jam. Orang tersebut tidak boleh ditahan melebihi tempoh ini melainkan seorang majistret telah memberikan perintah reman ke atas orang tersebut. Sekiranya penahanan itu melebihi 24 jam tanpa perintah reman oleh majistret, penahanan tersebut menjadi tidak sah.

Selepas pihak polis membuat tangkapan, pada kebiasaannya polis akan pada keesokan harinya membawa orang yang ditahan ke hadapan majistret. Kemudian, pihak polis akan membuat permohonan untuk mendapatkan perintah reman. Pihak polis harus menunjukkan kepada majistret mengapa orang tersebut harus ditahan dengan lanjut.

Menurut Seksyen 117(1) Kanun Acara Jenayah (“KAJ”), majistret hanya wajar membuat perintah reman sekiranya didapati bahawa penyiasatan tidak boleh diselesaikan dalam masa 24 jam dan terdapat alasan-alasan untuk menahan orang tersebut dalam lokap sementara siasatan dijalankan oleh polis.

Majistret tidak boleh menerima sahaja permohonan polis untuk penahanan reman. Majistret harus berpuas hati bahawa terdapatnya alasan-alasan untuk memberikan perintah reman tersebut, dan alasan-alasan ini wajar dikemukakan oleh polis.

Di samping itu, alasan-alasan yang dikemukakan juga mesti berkaitan dengan keperluan polis untuk melanjutkan tahanan orang tersebut.

Alasan seperti ‘kami perlu masa untuk jalankan siasatan’ bukanlah alasan yang boleh diterima mengikut undang-undang untuk mereman seseorang. Alasan-alasan lain seperti ‘kami perlu mengambil statement’ atau ‘kami perlu adakan kawad cam’ juga tidak boleh cukup untuk menjustifikasi tahanan reman.

Apakah alasan yang boleh diterima mengikut undang-undang? Sekiranya dapat ditunjukkan bahawa jika orang tersebut tidak ditahan, ada kemungkinan orang itu melarikan diri, contohnya.

Ataupun sekiranya orang itu akan mengganggu saksi-saksi atau bahan bukti, contohnya, dan ini mewajarkan orang itu ditahan sementara siasatan dijalankan.

Majistret mempunyai tanggungjawab untuk mengimbangi hak-hak orang yang ditahan dengan keperluan pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Selepas berpuas hati dengan alasan-alasan yang dikemukakan polis, barulah majistret boleh memberikan perintah reman.

Untuk kesalahan yang membawa hukuman penjara kurang dari 14 tahun, perintah reman maksimum adalah sehingga 4 hari, dan kemudian pihak polis boleh memohon untuk melanjutkan reman selama maksimum 3 hari.

Untuk kesalahan yang membawa hukuman penjara lebih dari 14 tahun pula, reman pertama adalah maksimum 7 hari dan lanjutan reman juga adalah untuk 4 hari.

Sekiranya majistret tidak membenarkan reman, atau tempoh reman telah berakhir, maka orang yang ditahan harus dibebaskan. Apa-apa tahanan selepas itu adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.

Namun realitinya adalah proses reman adalah pada kebiasaannya majistret akan membenarkan permohonan polis tanpa memastikan bahawa prinsip-prinsip untuk mendapatkan perintah tersebut telah dipenuhi.

Tidak dinafikan bahawa polis harus diberikan ruang yang mencukupi untuk menjalankan siasatan tetapi pada masa sama, hak-hak orang yang ditahan juga tidak boleh diabaikan.

Apatah lagi apabila orang tersebut tidak disabit dengan apa-apa kesalahan pada peringkat ini.


*Penulis seorang peguam mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.