SELEPAS PRU14 yang penuh bersejarah, di mana kita telah menyaksikan Pakatan Harapan memenangi kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat, sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional pada peringkat Persekutuan, kita tertunggu-tunggu pula akan permulaan persidangan Parlimen.

Komposisi Dewan Rakyat sudah tentu juga akan berubah, lebih-lebih lagi dengan perkembangan politik pasca PRU. Pakatan Harapan dan sekutu mereka Parti Warisan Sabah menguasai Dewan Rakyat, Barisan Nasional kini tinggal Umno, MCA dan MIC dan terdapat juga parti dan gagasan lain seperti Pas, Gagasan Parti Sarawak (GPS) dan juga ahli-ahli bebas.

Maka, adalah sesuai sekiranya kita sekali lagi diingatkan tentang fungsi dan komposisi Parlimen dalam kerangka Perlembagaan kita.

Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan dua dewan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli yang dipilih oleh pengundi Malaysia. Mereka dikenali sebagai ahli Parlimen. Dewan Negara terdiri daripada 70 ahli yang dikenali sebagai senator.

Sidang Parlimen adalah mesyuarat dalam kalangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat atau senator di Dewan Negara.

Selepas setiap pilihan raya umum, YDPA akan memanggil persidangan Parlimen. YDPA haruslah mengikut nasihat perdana menteri atau Kabinet untuk berbuat demikian.

YDPA juga menangguhkan sidang Parlimen tetapi harus bertindak atas nasihat perdana menteri atau Kabinet.

Parlimen harus bersidang dalam masa 120 hari daripada tarikh pilihan raya umum yang terakhir. Untuk kali ini, mesyuarat pertama, penggal pertama untuk Parlimen ke-14 akan secara rasminya bermula pada 16 Julai 2018 dengan istiadat mengangkat sumpah oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang baru dipilih.

Kali ini juga, 90 ahli Parlimen baharu akan mengangkat sumpah pada tarikh tersebut.

Parlimen bersidang mengikut penggal. Namun begitu, Parlimen tidak boleh membenarkan jarak enam bulan di antara satu penggal dengan penggal yang lain.

Parlimen terbubar secara automatik lima tahun selepas sidang pertamanya setelah pilihan raya umum. Parlimen boleh dibubarkan lebih awal daripada lima tahun dengan kebenaran YDPA.

Rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia yang berumur sekurang-kurangnya 21 tahun boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya untuk menjadi seorang ahli Parlimen.

Manakala seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia yang berumur sekurang-kurangnya 30 tahun boleh menjadi senator dalam Dewan Negara.

Senator dilantik untuk penggal tiga tahun dan setiap senator hanya boleh berkhidmat untuk dua penggal. Senator boleh dilantik oleh YDPA atau dipilih oleh negeri-negeri.

Setelah menjadi ahli Parlimen atau senator, seseorang itu boleh hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen atau senator sekiranya beliau tidak sempurna akal, menjadi seorang bankrap, memegang jawatan berpendapatan, membelanjakan wang lebih daripada apa yang dibenarkan bagi kempen pilihan rayanya, didapati bersalah bagi jenayah dan hukumannya adalah satu tahun penjara atau lebih, atau denda RM2,000 atau lebih atau menjadi warganegara negara lain.

Di samping itu seseorang ahli Parlimen atau senator juga boleh meletakkan jawatannya.

Parlimen mempunyai fungsi untuk menggubal dan meminda undang-undang, mengawal penggunaan wang negara, memantau pentadbiran negara dan membincangkan isu-isu yang dihadapi rakyat.

Parlimen mempunyai peranan yang amat penting di dalam negara. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus memahami fungsi dan komposisi Parlimen Malaysia.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur