BEBERAPA minggu lepas dilaporkan bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah menyampaikan suatu syarahan bertajuk ‘Islam sebagai undang-undang negara’, di mana beliau mengatakan bahawa undang-undang negara yang bertentangan sumber utama undang-undang Islam adalah tidak sah.

Asas hujah beliau adalah berdasarkan bacaan Perkara 3 dan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan bersama.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perkara 4(1) pula menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Persekutuan dan mana-mana undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Hujah ini sebenarnya bukan baru. Malahan, ia telah pun diputuskan dengan muktamad oleh Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh lawan pendakwa raya. Dalam kes tersebut, telah dihujahkan oleh perayu bahawa hukuman mati mandatori untuk kesalahan mengedar dadah adalah tidak sah kerana bertentangan dengan Islam.

Peguam perayu telah merujuk kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan berhujah bahawa oleh kerana Islam adalah agama Persekutuan, hukuman mati yang tidak mengikut hudud atau qisas dalam undang-undang Islam adalah bertentangan dengan prinsip agama dan oleh itu, tidak mengikut Perlembagaan.

Mahkamah Agung telah menolak hujah ini dan memutuskan bahawa perkataan-perkataan  dalam Perenggan 3 tidak boleh membawa maksud bahawa hukuman mati mandatori adalah tidak berperlembagaan atau unconstitutional.

Kes Che Omar Che Soh masih undang-undang mapan. Keputusan-keputusan mahkamah tertinggi, sama ada Mahkamah Agung atau Mahkamah Persekutuan tidak mengubah atau mengganggu prinsip-prinsip yang diputuskan dalam kes tersebut.

Oleh sebab itu, hujah Tun Fairuz tidak mempunyai asas yang kuat berdasarkan undang-undang dan bagai tidak mengendahkan sejarah perlembagaan dan undang-undang negara kita. Jika hujah ini diterima, ia akan menukar rupa bentuk dan natijah Perlembagaan kita secara menyeluruh.

Kedudukan istimewa dan terpelihara agama Islam, sebagai agama Persekutuan adalah jelas dan tidak wajar dipersoalkan. Tetapi Perkara 3 tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa undang-undang mesti diluluskan dengan mengikut prinsip-prinsip agama untuk menjadi sah.

Bandingkan Perkara 3 dengan Perkara 10 Perlembagaan negara Maldives, yang memperuntukkan bahawa Islam adalah asasi segala undang-undang negara itu dan tidak ada undang-undang yang bertentangan dengan mana-mana tiang agama Islam boleh digubal di Maldives.

Kita tidak ada peruntukan seperti itu dalam Perlembagaan kita. Malahan, Perkara 3(4) dengan jelas menyatakan bahawa tiada apa-apa jua dalam Perkara 3 yang mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan, termasuklah Perkara 4(1).

Debat dan perbahasan berlangsung lama, sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau tidak. Persoalan ini sebenarnya adalah suatu persoalan akademik, bagi tujuan perbincangan semasa forum dan syarahan. Tetapi apa yang sepatutnya jelas buat semua adalah Malaysia bukanlah sebuah negara teokrasi, kerana Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perlembagaan itu sebagai undang-undang tertinggi negara, bukan mana-mana sumber luaran berpaksikan agama.

Walau apa pun kepercayaan kita, kita harus sekurang-kurangnya sepakat dalam meluhurkan Perlembagaan. Ingat kata-kata Ketua Hakim pada masa itu, Tun Salleh Abbas, dalam memberi alasan penghakiman Che Omar Che Soh.

“Kami harus mengetepikan perasaan peribadi kami kerana undang-undang negara ini adalah masih undang-undang sekular, di mana moraliti yang tidak diterima undang-undang, tidak mempunyai kedudukan sebagai undang-undang.”