TANGGAL 4 Mac 2016 mungkin sekali akan terukir dalam sejarah politik tanah air sebagai tarikh berlakunya suatu peristiwa yang menakjubkan. Pada tarikh tersebut, ahli politik daripada pelbagai parti politik, yang merentas ideologi dan gagasan, serta aktivis daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan individu-individu yang mempunyai pengaruh, telah menandatangani suatu kesefahaman yang mereka kata adalah demi kesejahteraan negara.

Deklarasi Rakyat telah membawa mereka semua duduk semeja. Musuh tradisi menjadi kawan, seteru menjadi sekutu.

Kita tahu deklarasi tersebut mendesak penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, ‘menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.’

Di samping itu, ia juga mendesak ‘penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya’, ‘pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi’ dan ‘pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan’.

Bagaimana ini semua dapat dilakukan, tidak pula diperinci dalam deklarasi tersebut.

Respons terhadap Deklarasi Rakyat begitu banyak dan pelbagai. Ada yang menyokong dan ada yang membantah. Yang membantah, ada yang tidak boleh menerima kerjasama dengan Tun Mahathir atas dasar prinsip.

Bagi yang menyokong kerajaan pula, Deklarasi Rakyat ini diuar-uarkan sebagai suatu percubaan untuk ‘menjatuhkan’ kerajaan yang sedia ada.

Menurut mereka, Perdana Menteri hanya boleh disingkirkan melalui pilihan raya umum. Malahan, ada juga daripada pihak pembangkang, terutama sekali Pas, yang mengulangi mantera ini.

Penulis tidak mahu menilai merit Deklarasi Rakyat tersebut dalam rencana ini. Terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya sendiri.

Tetapi adakah benar dakwaan bahawa perdana menteri hanya boleh ditukar melalui pilihan raya umum?

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dipertanggungjawabkan untuk melantik seorang perdana menteri daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Tetapi Yang di-Pertuan Agong, dalam menjalankan tanggungjawab ini, tidak pula diberi kuasa untuk ‘memilih’ perdana menteri, tetapi harus berpandukan suara ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum.

Selalunya apa akan berlaku selepas pilihan raya umum, ketua parti yang berjaya membentuk kerajaan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Sekiranya tidak ada suatu parti yang menang majoriti, tetapi terdapat gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik nama yang diketengahkan sebagai perdana menteri oleh gabungan politik tersebut.

Tetapi ini tidak bermakna perdana menteri yang dilantik akan terus menjadi perdana menteri sehingga Parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum. Sekiranya seorang perdana menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat ataupun dengan sendirinya letak jawatan, maka seorang perdana menteri baharu boleh dilantik dengan proses yang sama.

Walaupun bukan di Parlimen, perkara yang sama kita lihat baru-baru ini di Kedah, sebelum itu di Terengganu dan juga di Selangor, di mana menteri besar negeri-negeri tersebut telah meletakkan jawatan dan ditukar dengan menteri besar yang baharu.

Samalah juga pada tahun 2009, di mana mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berundur diri dan digantikan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan, amalan menukar perdana menteri ini sering berlaku di negara-negara yang lain yang juga mengamalkan sistem demokrasi berparlimen Westminister. Sebagai contoh, mantan Perdana Menteri Australia, Tony Abott telah ditukar dengan Perdana Menteri sekarang, Malcolm Turnbull.

Penulis tidak berminat untuk berhujah sama ada terdapat keperluan untuk menukar perdana menteri dalam rencana ini. Tetapi apa yang pasti, jika dilihat melalui kaca mata undang-undang, dakwaan bahawa seorang perdana menteri hanya boleh ditukar melalui pilihan raya umum langsung tidak mempunyai asas.

* Syahredzan Johan, penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur