TANGGAL 3 Mei adalah Hari Kebebasan Media Sedunia. Kebebasan media merupakan salah satu tonggak penting kepada demokrasi. Demokrasi akan tempang dan lumpuh tanpa media yang bebas daripada kekangan.

Media yang bebas akan melaporkan kebenaran yang berlaku dalam masyarakat, mendedahkan kezaliman dan kebobrokan di dalam sesebuah negara serta menyediakan wahana untuk perdebatan dan percambahan idea.

Oleh sebab itu, media disebut sebagai ‘Estet Keempat’ atau dalam bahasa Inggeris, the Fourth Estate, di dalam sesebuah negara.

Menurut Indeks Kebebasan Media 2016, Malaysia berada di tangga ke-146 daripada 180 negara. Kedudukan ini amat membimbangkan, apatah lagi jika dilihat kedudukan kita berbanding dengan negara-negara lain di dalam rantau ini seperti Indonesia (130), Thailand (136) dan Filipina (138). Malahan, menurut indeks ini, Timur Leste jauh lebih bebas apabila berada di tangga ke-99.

Namun kedudukan kita dalam indeks ini tidak memeranjatkan. Media di negara ini memang dikekang dengan begitu banyak undang-undang. Di samping itu, tindakan pihak penguasa juga memberi kesan kepada kebebasan media di Malaysia.

Kita lihat dahulu dengan undang-undang yang sedia ada. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, mewajibkan setiap syarikat media untuk mendapatkan lesen bagi mencetak apa-apa jenis penerbitan seperti akhbar dan majalah.

Akta ini juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk menggantung atau menarik balik lesen yang telah diberikan atas sebab-sebab tertentu.

Terbaharu sekali, kita melihat bagaimana tahun lepas akhbar The Edge digantung tiga bulan kerana liputannya berkenaan dengan syarikat milik kerajaan 1MDB.

Penggantungan itu akhirnya diketepikan oleh mahkamah, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa ia akan memberi kesan ke atas kewangan pada akhbar tersebut walaupun hanya beberapa minggu digantung.

Di samping itu, terdapat juga undang-undang lain yang menyekat kebebasan media. Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga peruntukan-peruntukan dalam Kanun Keseksaan boleh dan telah digunapakai ke atas wartawan dan media.

Kita telah lihat bagaimana tahun lepas, lima wartawan sebuah portal berita telah ditahan selama 24 jam kerana siasatan di bawah Akta Hasutan. Mereka terpaksa bermalam di dalam lokap.

Ramai wartawan lain juga disiasat atau diwajibkan untuk hadir memberi keterangan kepada pihak berkuasa seperti polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di bawah undang-undang yang sedia ada.

Tidak lupa juga Akta Rahsia Rasmi yang menjadikan ia suatu kesalahan untuk mendedahkan apa yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi. Ini termasuklah menyiarkan perkara-perkara yang diliputi akta tersebut melalui media.

Semua undang-undang ini, yang sudah semakin lapuk dan ketinggalan dan tidak lagi dipraktikkan di negara-negara maju, telah mewujudkan suatu situasi di mana media tidak dapat berfungsi dengan berkesan dan memainkan peranannya sebagai Estet Keempat. Pengamal media sentiasa ‘dihantui’ dengan tindakan undang-undang pihak penguasa.

Tidak dinafikan, media memang perlu bertanggungjawab dalam membuat liputan. Tetapi bukan kerajaan yang harus memastikan ini berlaku, kerana jika kuasa diberi kepada kerajaan mereka mungkin akan menggunakan demi kepentingan mereka.

Mekanisme terbaik adalah untuk mewujudkan suatu Majlis Media Kebangsaan yang dianggotai oleh pengamal media sendiri.

Majlis ini boleh memutuskan apa-apa aduan yang dibuat kepadanya, sama ada pengamal media yang berkenaan telah melanggar etika kewartawanan atau tidak. Bukannya melalui undang-undang lapuk yang dikuatkuasakan kerajaan dan mungkin boleh disalah guna.

Jika media dikekang dan tidak bebas, maka media tidak boleh memainkan peranannya di dalam sebuah negara demokratik sebagai salah satu cara untuk sekat dan imbang, atau dalam bahasa Inggeris, check and balance kepada badan-badan kerajaan.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur