BARU-baru ini, kerajaan mengumumkan akan menarik balik pasport yang telah dikeluarkan kepada Ali Abd Jalil dan Alvin Tan.

Seperti yang umum sedia maklum, mereka berdua masing-masing berada di Sweden dan Amerika Syarikat, mencari suaka politik di sana daripada apa yang mereka dakwa sebagai penindasan politik terhadap mereka.

Persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa bijak pandai undang-undang, seperti yang dipetik media, adalah sama ada kerajaan boleh berbuat demikian.

Pada pengamatan penulis sendiri, tidak ada peruntukan khusus yang membenarkan kerajaan berbuat demikian.

Di samping itu, ada juga yang menyarankan supaya kerajaan melucutkan kewarganegaraan mereka. Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dilaporkan media telah mengeluarkan kenyataan menggesa supaya Peguam Negara memohon ke mahkamah supaya kewarganegaraan mereka dilucutkan.

Apa yang digesa oleh beliau mustahil dilakukan. Bagi majoriti rakyat Malaysia, yang lahir sebagai warganegara Malaysia, Kerajaan Persekutuan hanya boleh melucutkan kewarganegaraan mereka sekiranya mereka mendapat kewarganegaraan lain ataupun mengamalkan suatu hak di negara lain yang eksklusif bagi warganegara negara tersebut, contohnya mengundi.

Jenis warganegara ini dikenali sebagai warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu secara automatik tanpa perlu apa-apa proses formal sejak lahir.

Perkara ini secara terang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan sekadar interpretasi yang berbeza kerana perkara ini adalah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan ada apa keraguan sekalipun.

Kerajaan hanya boleh melucutkan kewarganegaraan atas dasar ‘tidak setia’, bagi kategori warganegara yang menjadi rakyat Malaysia melalui suatu proses formal. Mereka sebelum ini adalah rakyat negara lain, dapat kewarganegaraan Malaysia.

Kuasa ini tidak terpakai kepada Ali dan Alvin kerana mereka adalah warganegara Malaysia sejak lahir.

Sama ada bersetuju atau tidak dengan tindakan Ali dan Alvin bukanlah isunya di sini. Apa yang dibangkitkan oleh penulis adalah tentang undang-undang yang terpakai; tentang apa yang benar dan jelas dan apa yang salah dari sudut undang-undang.

Inilah masalahnya bila tahap kesedaran Perlembagaan dalam kalangan rakyat kita begitu rendah. Personaliti yang berprofil tinggi pun boleh mengeluarkan kenyataan yang salah.

Dan ada pula peguam-peguam yang dipetik oleh media mengiakan kenyataan salah ini, walhal secara teorinya mereka sebagai peguam wajar lebih arif dalam perihal undang-undang.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen yang paling penting dalam negara ini, dari sudut undang-undang. Ia patut dihayati dan difahami oleh semua, tidak kira sama ada raja mahupun rakyat, menteri mahupun marhaen.

Ia adalah tiang seri yang menjadi tunjang negara kita dan menjadi buku panduan untuk negara.

Ahli-ahli Parlimen dan hakim-hakim mahkamah akan mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Kita juga, apabila melafazkan Rukun Negara, berikrar untuk ‘meluhurkan Perlembagaan’. Tetapi sejauh mana kita dapat mendukung dan mempertahankan dokumen tersebut jika kita tidak tahu atau tidak mahu tahu akan inti patinya?

Penulis menyeru semua pihak untuk kembali semula kepada Perlembagaan. Kerajaan wajar memasukkan pendidikan Perlembagaan dalam silibus sekolah.

Parti-parti politik juga wajar memberi kesedaran kepada ahli-ahli mereka tentang Perlembagaan.

Dengan adanya pendidikan tentang Perlembagaan kepada orang ramai, diharapkan tidak ada lagi pihak-pihak yang membuat kenyataan salah.

Sekiranya ada sekalipun, dengan adanya kesedaran dalam kalangan orang ramai, mereka tidak akan terkeliru.

*Penulis adalah seorang peguam mengamal undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.