AWAL tahun ini, Mahkamah Persekutuan telah memberi suatu keputusan penting dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd lawan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat.

Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan isu-isu berkenaan dengan keperlembagaan beberapa peruntukan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 berkenaan dengan pengambilan tanah.

Apa yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan secara asasnya adalah sama ada Parlimen boleh mengehadkan atau mengecualikan bidang kuasa mahkamah melalui undang-undang Persekutuan.

Pada tahun 1988, Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk mengeluarkan perkataan-perkataan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan termaktub dengan mahkamah tinggi. Oleh itu, tidak ada peruntukan lagi bahawa kuasa kehakiman ini berada dengan mahkamah.

Perkara 121(1) selepas pindaan kini berbunyi “…Mahkamah-mahkamah tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang Persekutuan.”

Selepas pindaan pada tahun 1988 tersebut, Perkara 121(1) telah diberi makna oleh beberapa keputusan mahkamah sebagai bermaksud bahawa bidang kuasa mahkamah-mahkamah adalah ditentukan oleh Parlimen.

Dalam erti kata lain, Parlimen boleh mengehadkan atau mengecualikan bidang kuasa mahkamah melalui undang-undang Persekutuan. Kuasa kehakiman Persekutuan ditentukan oleh Parlimen.

Tetapi, dalam kes Semenyih Jaya, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan masih termaktub dengan mahkamah, walaupun dengan pindaan terhadap Perkara 121(1) pada tahun 1988.

Mahkamah Persekutuan juga mengesahkan apa yang dikenali sebagai ‘doktrin struktur asas’ yang datangnya dari India dan diperkenalkan di Malaysia dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Sivarasa Rasiah lwn Badan Peguam Malaysia.

Menurut doktrin ini, pindaan-pindaan kepada Perlembagaan yang menggangu struktur asas Perlembagaan adalah secara hakiki tidak mengikut Perlembagaan.

Keputusan dalam kes Semenyih Jaya dijangka memberi kesan yang mendalam.

Pertamanya, klausa pengecualian atau ouster clauses yang mengecualikan bidang kuasa mahkamah daripada menyemak keputusan-keputusan yang dibuat oleh Kerajaan dan badan-badan di bawahnya kini boleh dicabar.

Keduanya, peruntukan undang-undang yang mengikat hakim-hakim kepada keputusan-keputusan badan bukan kehakiman juga kini boleh dicabar.

Dalam kes Semenyih Jaya, seksyen yang mengikat hakim kepada penilaian penilai-penilai dalam menentukan pampasan didapati tidak mengikut Perlembagaan.

Kuasa kehakiman tidak boleh ada pada badan-badan selain mahkamah.

Peranan kehakiman di dalam mana-mana negara adalah untuk mentakrif undang-undang, menyemak tindakan badan-badan negara dan mendukung kebebasan asasi rakyat.

Peranan ini hanya boleh dilaksanakan oleh mahkamah sekiranya mahkamah adalah independen dan bebas daripada campur tangan.

Inilah sebab mengapa kebebasan kehakiman itu begitu penting, sama pada hakikatnya, atau dari segi persepsi. Rakyat harus mempunyai keyakinan pada mahkamah dan sistem keadilan.

Apa-apa percubaan untuk campur tangan dalam kebebasan atau mempengaruhi mahkamah, atau apa-apa tindakan yang memberi gambaran bahawa mahkamah itu mengikut telunjuk kerajaan mesti ditentang dan dibantahi.

Mahkamah juga tidak boleh menjadi penyemak dan pengimbang kepada kuasa badan-badan negara yang lain jika bidang kuasa mahkamah boleh dikecualikan atau dihadkan oleh Parlimen.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya adalah keputusan yang penting dan dialu-alukan. Ia mengesahkan peranan dan tanggungjawab mahkamah dalam konteks negara dan Perlembagaan.