BULAN pertama pentadbiran Donald J Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat penuh dengan kontroversi. Antara perkara yang dibuat oleh Presiden ke-45 Amerika Syarikat itu, adalah menandatangani beberapa Perintah Eksekutif, yang mana salah satunya adalah melarang kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Islam.

Perintah Eksekutif tersebut melarang rakyat dari negara Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman untuk tempoh 90 hari. Ia juga, antara lain, melarang kemasukan pelarian Syria ke dalam negara tersebut untuk selama-lamanya.

Namun demikian, seorang hakim Mahkamah Persekutuan di Amerika telah menggantung Perintah Sekatan tersebut sementara menunggu mahkamah membuat keputusan akhir mengenai kesahihan Perintah Eksekutif tersebut. Penggantungan ini dikekalkan oleh sebuah Mahkamah Rayuan Persekutuan. Buat masa ini, Perintah Eksekutif itu tidak berkuat kuasa.

Walaupun kita sebagai rakyat Malaysia tidak terkesan dengan Perintah Eksekutif tersebut, namun kita wajar menyuarakan bantahan terhadapnya. Kita tidak boleh menganggap bahawa perintah ini adalah suatu isu dalaman Amerika Syarikat sahaja, kerana sebagai sebuah kuasa global apa yang berlaku di Amerika akan mempunyai kesan di seluruh dunia amnya, dan kepada warga tujuh negara tersebut, khususnya.

Walaupun Trump telah dipilih secara demokratik oleh warga Amerika dan sememangnya mempunyai mandat untuk antara lain, melindungi negaranya, beliau tidak boleh bertindak dengan sesuka hati dan sewenang-wenangnya. Beliau mungkin punya budi bicara dan kuasa untuk mengeluarkan Perintah-Perintah Eksekutif tetapi ia adalah terhad dan bukannya mutlak. Mandat yang diberikan untuk mentadbir bukanlah mandat untuk ikut suka hati.

Apa-apa tindakan yang diambil oleh pemegang tampuk kuasa kononnya untuk keselamatan dalam negeri haruslah mempunyai matlamat yang jelas. Harus ada hubung kait yang munasabah di antara tindakan yang diambil dan matlamat yang ingin dicapai. ‘Keselamatan dalam negeri’ bukanlah suatu kebenaran mutlak untuk melanggar kedaulatan undang-undang.  

Perintah Eksekutif Trump adalah tidak wajar dan tidak berkadar dengan matlamat melindungi keselamatan Amerika Syarikat. Sejak peristiwa serangan September 11 2001, tidak ada warga yang berasal dari tujuh negara yang dilarang pernah melakukan apa-apa serangan keganasan di Amerika Syarikat. Dengan mengenakan sekatan kemasukan tersebut, Trump bagaikan menganggap bahawa kesemua warga negara-negara tersebut adalah ancaman terhadap keselamatan Amerika.

Larangan Trump ini tidak boleh dibandingkan dengan larangan warga Israel untuk memasuki sesetengah negara majoriti Islam termasuk Malaysia. Warga Israel tidak dibenarkan masuk kerana negara kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel akibat pencerobohan Israel di bumi Palestin, bukannya atas dasar bahawa semua warga Israel dilihat sebagai ancaman. Ia adalah suatu keputusan politik dan bukan secara natijahnya berasaskan perkauman.

Jangan lupa bahawa suatu masa dahulu banyak negara memutuskan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan kerana dasar aparteid.

Akhir sekali, kita harus bantah Perintah Eksekutif tersebut kerana ia dikenakan oleh Amerika Syarikat. Walau apa pun kelemahan negara itu, dan sememangnya ia banyak kelemahan, ia tetap boleh dijadikan contoh sebuah negara demokratik moden yang mempunyai sistem politik yang matang. Negara-negara demokratik lain boleh mengikut jejak Amerika dalam hal-hal demokrasi.

Jika Amerika Syarikat begitu senang meninggalkan prinsip-prinsip asasnya, apa harapan kita di negara demokratik yang masih dikira baharu?

Ya memang kita sendiri di Malaysia banyak isu yang masih belum diselesaikan. Tetapi kita sebagai warga dunia patut meluangkan masa untuk menzahirkan bantahan terhadap Perintah Eksekutif Trump atas dasar manusiawi, demokrasi dan hak asasi manusia.