SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) pada 10 April telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRU14 pada 28 April, manakala hari pengundian ditetapkan pada 9 Mei.

Tarikh pengundian awal pula pada 5 Mei, sementara tempoh berkempen ialah 11 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 8 Mei 2018. SPR turut menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan pada 11 April.

Pengumuman hari pengundian pada 9 Mei, iaitu pada hari Rabu telah menimbulkan rasa tidak senang dan bantahan daripada orang ramai. Ini kerana, hari mengundi yang ditetapkan pada tengah minggu akan menyebabkan kesukaran kepada pengundi, terutama sekali pengundi luar.

Ada juga yang mengatakan bahawa ini merupakan perancangan SPR untuk menurunkan peratusan mengundi kerana khuatir bahawa jika peratusan keluar mengundi menjadi tinggi, ia akan menjejaskan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurut teori ini, pengundi luar yang bekerja di bandar-bandar akan lebih cenderung menolak BN kerana merekalah yang paling terkesan dengan keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang.

Walaupun kerajaan sementara telah mengumumkan cuti umum bagi hari mengundi, ia tetap akan mendatangkan kesukaran kepada pengundi. Yang tinggal di kawasan-kawasan yang jauh contohnya, cuti sehari tidak cukup untuk perjalanan pergi dan balik.

Manakala bagi mereka yang bekerja di luar negara, mereka terpaksa mengambil cuti untuk pulang ke Malaysia dan mengundi. Terdapat seramai 400,000 warga Malaysia yang bekerja di Singapura contohnya, dan mereka terpaksa mengambil cuti untuk keluar mengundi.

Malangnya, SPR langsung tidak memberi apa-apa alasan atau justifikasi mengapa hari mengundi ditetapkan pada hari Rabu, di tengah-tengah minggu.

 

Memang sebelum ini SPR pernah menetapkan tarikh mengundi pada hari bekerja. Tetapi kali terakhir pada hari Rabu adalah sebelum Malaysia dibentuk. Hari bekerja sebelum ini bukanlah pada tengah-tengah minggu.

Memang pada tahun 1995 dan 1999, hari mengundi juga jatuh pada hari bekerja. Tetapi bukan pada hari Rabu. Dan jika masa itu tidak betul, mengapa kita harus meneruskannya?

Urbanisasi juga telah berkemban sejak tahun 1999. Lebih ramai orang yang keluar untuk mencari pekerjaan di luar. Dengan keadaan ini, sudah tentu ianya lebih baik sekiranya ia ditetapkan pada hari minggu, seperti tiga PRU sebelum ini.

 

Ramai juga penyokong kerajaan sementara yang menyalahkan pengundi. Kononnya pengundi sepatutnya menukar alamat di mana mereka mengundi sekiranya sudah bermastautin di tempat lain.

Tetapi ada pelbagai sebab mengapa pengundi tidak menukar tempat mengundi. Dan tidak ada peraturan atau undang-undang yang mewajibkan seseorang untuk berbuat demikian. SPR sendiri tidak pernah mengadakan kempen besar-besaran supaya orang tukar tempat mengundi.

Jadi, untuk menyalahkan orang ramai kerana tidak menukar tempat mengundi adalah sangat tidak adil dan seperti menyalahkan mangsa.

Memang juga, SPR mempunyai bidang kuasa dan budi bicara untuk menetapkan tarikh hari mengundi. Ini tidak dinafikan dan memang sudah termaktub. Tiada siapa mempersoalkan perkara ini.

Tetapi dalam menjalankan tanggungjawab mereka, SPR kena membuat keputusan yang rasional dan munasabah. Dan menetapkan hari mengundi pada hari Rabu bukanlah sesuatu keputusan yang rasional mahupun munasabah.

Sebagai respons, rakyat Malaysia telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu orang untuk pulang mengundi, sama ada melalui bantuan kewangan atau berkongsi kereta. Majikan juga membenarkan pekerja mengambil cuti tambahan, dan syarikat penerbangan mengenakan tambang murah. Halangan yang diletakkan oleh SPR dalam menetapkan hari mengundi pada hari Rabu, cuba diatasi bersama.

Namun demikian, SPR masih perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka membuat keputusan yang tidak masuk akal tersebut.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur