BAYANGKAN senario ini. Anda tinggal di sebuah kawasan perumahan. Anda beli rumah di kawasan tersebut kerana ia jauh dari kesibukan bandar.

Nilai hartanah di kawasan perumahan tersebut lebih tinggi dari biasa, tetapi anda membelinya kerana ia menjanjikan kesunyian dan ketenteraman.

Anda mahukan suatu tempat yang mana anda dan keluarga boleh tinggal dengan selamat. Suatu hari, anda mendapat tahu bahawa kerajaan telah meluluskan pembinaan lebuh raya yang akan melalui kawasan perumahan anda.

Projek lebuh raya ini akan memakan masa panjang, dan selepas siap, walaupun nilai hartanah rumah anda mungkin sekali akan meningkat, namun kesunyian ketenteraman yang anda nikmati kini sudah pasti akan terganggu.

Bila ditanya dek media, kerajaan menjawab bahawa keputusan dibuat selepas kajian dilakukan. Tetapi bila ditanya lanjut, kerajaan enggan mendedahkan kajian tersebut.

Sebagai rakyat yang terkesan dengan keputusan ini, anda mahu tahu bagaimana kerajaan membuat keputusan tersebut. Tetapi buat begitu banyak pertanyaan, bertulis dan lisan, kepada kerajaan, tetapi tiada jawapan diberikan. Wakil rakyat anda juga tidak membantu.

Sekiranya anda mempunyai hak untuk mendapat akses kepada maklumat yang anda mahukan, iaitu bagaimana kerajaan mencapai keputusan tersebut, anda tidaklah perlu terkial-kial ke sini dan ke sana serta menghadapi ‘dinding sunyi’ di hadapan anda. Anda hanya perlu membuat permohonan melalui saluran yang betul, dan anda boleh dapat maklumat yang dimahukan.

Inilah yang dikatakan sebagai kebebasan maklumat. Kebebasan maklumat ini penting bagi demokrasi. Ia dapat memastikan bahawa rakyat mempunyai akses kepada maklumat dan tahu apa yang kerajaan lakukan dan mengapa kerajaan bertindak sedemikian.

Sekiranya rakyat tidak tahu apa yang kerajaan buat, maka rakyat tidak boleh mengambil bahagian dalam proses demokrasi dengan efektif. Bagaimana kita hendak mengamalkan hak demokratik kita tanpa pengetahuan menyeluruh tentang apa yang kerajaan kita lakukan?

Kebebasan bersuara juga akan menggalakkan keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbiran. Jika rakyat mempunyai hak untuk mendapat maklumat, maka pentadbir dan pegawai kerajaan akan lebih berhati-hati dalam bertindak.

Ia juga akan sedikit-sebanyak mengurangkan penyelewengan dan salah tadbir dalam kerajaan. Ini akan membantu usaha untuk membanteras rasuah.

Negara-negara lain telah menggubal akta kebebasan maklumat bagi mendukung hak kebebasan maklumat di negara mereka. Di Malaysia malangnya, hanya dua buah negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang mempunyai undang-undang kebebasan maklumat.

Lebih penting lagi, di peringkat Persekutuan kita masih tidak ada akta kebebasan maklumat. Malahan, kita masih ada Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang mengekang kebebasan maklumat. Akta Rahsia Rasmi ini membolehkan pihak kerajaan untuk merahsiakan maklumat kerajaan.

Sesiapa yang mendedahkan maklumat rahsia tersebut boleh didakwa di mahkamah. OSA ini sering kali digunakan untuk menghalang orang ramai daripada mendapat maklumat daripada kerajaan.

Suatu akta kebebasan maklumat membolehkan rakyat membuat suatu permohonan rasmi kepada kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang mereka mahukan tentang pelbagai perkara.

Suatu tempoh masih diberikan untuk kerajaan memberi maklum balas dan kemudian memberi maklumat yang diminta. Lebih penting lagi, kerajaan tidak boleh menolak permohonan itu dengan sewenang-wenangnya.

Memang terdapat kategori-kategori maklumat yang masih perlu dirahsiakan, contohnya yang berkenaan dengan keselamatan awam atau hal ehwal luar negara, tetapi ini hanyalah sebahagian daripada maklumat kerajaan yang ada di luar sana.

Sekiranya kerajaan tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, mengapa maklumat tersebut perlu dirahsiakan? Kita harus melihat semula sama ada OSA ini masih diperlukan atau relevan dalam situasi masa kini. Rakyat semakin celik demokrasi dan mahukan pentadbiran yang lebih telus. 

* Penulis adalah seorang peguam