SEPERTI kita tahu, amalan demokrasi bermula semasa zaman Yunani purba di negara-bandar Athens.

Perkataan demokrasi datang - diambil daripada perkataan-perkataan Yunani iaitu ‘demos’, yang bermaksud rakyat dan ‘kratos’ yang bermaksud ‘kuasa’.

Maka ‘demokrasi’ membawa maksud ‘kuasa rakyat’.

Demokrasi yang diamalkan di Athens pada ketika itu adalah demokrasi langsung atau terus, atau dalam bahasa Inggeris, ‘direct democracy’. Rakyat Athens lelaki yang merdeka mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam penggubalan undang-undang dan pentadbiran negarabandar tersebut. Tetapi hak yang sama tidak diberikan pada wanita dan hamba.

Demokrasi yang banyak diamalkan sekarang pula adalah bentuk demokrasi yang dipanggil ‘demokrasi perwakilan’ atau dalam bahasa Inggeris, ‘representative democracy’.

Dalam demokrasi ini, rakyat memilih seseorang untuk mewakili mereka dalam penggubalan undang-undang dalam dewan perundangan. Rakyat tidak secara terus menentukan bagaimana negara ditadbir.

Tetapi asas demokrasi tetap sama, sama ada secara langsung atau terus, atau melalui perwakilan; iaitu rakyat sesebuah negara itu mempunyai kepentingan dan boleh menentukan bagaimana negara ditadbir.

“Kerajaan yang terdiri daripada rakyat, oleh rakyat, dan demi rakyat,” bak kata Abraham Lincoln.

Atas dasar ini, kebebasan bersuara menjadi tunjang penting dalam mana-mana negara demokratik.

Ramai menganggap bahawa demokrasi itu hanya terhad kepada membuang undi setiap lima tahun untuk menentukan siapa yang membentuk kerajaan Persekutuan atau negeri-negeri. Mereka menganggap bahawa dalam tempoh di antara dua pilihan raya umum, rakyat tidak punya hak untuk bersuara dalam hal-hal pentadbiran negara.

Ini tanggapan yang salah. Demokrasi bukan hanya membuang undi. Demokrasi termasuklah amalan menyuarakan pendapat, kritikan atau tentangan terhadap apa-apa undang-undang, dasar, langkah, keputusan dan lain-lain, yang dibuat oleh mana-mana institusi negara, termasuklah kerajaan, Parlimen dan mahkamah.

Rakyat di dalam sebuah negara demokrasi mesti dibenarkan untuk bebas bersuara dalam hal-hal negara. Walaupun kerajaan telah dibentuk, walaupun wakil rakyat telah dipilih, ini tidak bermakna bahawa rakyat sudah tidak ada hak ataupun kepentingan untuk bersuara dalam hal-hal negara.

Jika wakil rakyat itu mewakili rakyat, bagaimana rakyat hendak memaklumkan kepada wakil mereka tentang perkara yang patut dibawa ke dalam dewan perundangan?

Jika rakyat tidak dibenarkan bersuara, bagaimana kerajaan boleh mendapat maklum balas tentang dasar-dasar atau pendekatan kerajaan?

Malangnya di negara ini, terdapat begitu banyak undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara. Walhal jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan, kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat itu terjamin dan termaktub.

Undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, Akta Universiti dan Kolej Universiti, antara lain, menyekat kebebasan bersuara rakyat negara ini dari pelbagai aspek. Hasilnya, rakyat hanya boleh bersuara dan mengeluarkan pendapat sekiranya apa yang disuarakan itu disenangi oleh mereka yang berkuasa.

Memang kebebasan bersuara itu tidak mutlak. Memang undang-undang boleh digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara. Tetapi dalam negara demokrasi, ia tidak boleh disekat dengan sewenangwenangnya dan mengikut kehendak mereka yang berkuasa.

Ada orang bersuara dan kita tidak setuju dengan apa yang disuarakan. Tetapi dalam demokrasi, hak untuk orang itu bersuara tetap harus kita dukung dan pertahankan.

Mungkin dengan kebebasan bersuara hasilnya bercelaru, pelbagai, tidak seragam

dan kadangkala mengelirukan. Ada yang biadab, ada yang kurang ajar, ada yang rasis, prejudis, ada yang merapu.

Tetapi jika kita berpegang pada prinsip demokrasi, inilah yang akan ada dalam sebuah negara demokratik.

 

*Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur