BARU-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk unfriend beberapa rakan Facebook saya. Sebelum ini, saya meluluskan hampir semua permohonan untuk menjadi rakan Facebook tanpa memeriksa dahulu siapa yang memohon.

Sikap tidak berhati-hati ini mengakibatkan kemas kini status Facebook saya di screencapture dan digunakan untuk menyerang saya dan keluarga.

Untuk mengelakkan perkara ini berlaku pada masa akan datang, saya telah menggunakan fungsi remove as friend beberapa rakan Facebook yang pada pengamatan saya barangkali akan screencapture kemas kini status saya. Mungkin cara ini tidak saintifik dan sedikit arbitrary, tetapi saya tidak mempunyai cara lebih baik.

Media sosial telah mengubah kehidupan kita dalam jangka masa yang pendek. Melalui media sosial, penyebaran maklumat telah didemokrasikan dan monopoli maklumat oleh negara (state) telah dipecahkan.

Media sosial memperkasakan kita dan memudahkan perhubungan di antara kita. Tetapi pada masa sama, ia juga telah memperkenalkan cara baharu untuk mengganggu, menyerang, menghina dan memudaratkan orang lain.

Bagi membolehkan pengguna menggunakan media sosial dengan lebih selesa, media sosial seperti Facebook dan Twitter menawarkan fungsi seperti Remove as friend, Unfollow, Mute, Block dan sebagainya.

Akan tetapi, ada sesetengah pengguna media sosial yang mendakwa bahawa penggunaan fungsi-fungsi ini tidak menghormati kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, apatah lagi mereka diblock oleh ahli politik, wakil rakyat atau selebriti.

Dakwaan ini tidak tepat. Blocking seseorang dalam media sosial tidak bermakna kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat orang lain telah disekat.

Sekiranya seseorang itu dihalang daripada mengatakan sesuatu, maka kebebasannya telah dinafikan atau disekat. Samalah juga sekiranya seseorang itu dihukum kerana mengatakan sesuatu. tanggungjawab untuk meluhurkan kebebasan ini terletak pada negara dan negara jugalah yang selalunya bersalah dalam tidak mendukung kebebasan-kebebasan ini.

Tetapi jika seseorang block orang lain, ini bukanlah suatu penafian hak. Orang itu masih boleh mengatakan apa yang dia mahu, walaupun tentang si polan yang telah block orang itu. Bezanya cuma orang yang block tidak boleh melihat kemas kini atau status update anda dan juga sebaliknya.

Hak untuk kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah suatu kebebasan yang termaktub dan dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Hak untuk kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat tidak bermakna kita boleh memaksa orang lain untuk mendengar apa yang disuarakan.

Contohnya, jika seseorang itu menggunakan pembesar suara untuk menyuarakan sesuatu, orang itu tidak boleh mengatakan bahawa kebebasan bersuaranya telah dinafikan sekiranya orang lain berhampiran dengannya menutup telinga mereka.

Ada hujah mengatakan bahawa wakil rakyat dan menteri tidak wajar block rakyat biasa kerana mereka mempunyai tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan menteri terhadap orang ramai.

Kita sebagai rakyat sepatutnya boleh berhubung terus dengan mereka. Hujah ini ada meritnya, tetapi inti pati hujah ini bukanlah kebebasan bersuara tetapi berpaksikan pada prinsip-prinsip seperti pemerintahan baik, keterbukaan dan ketelusan.

Mereka juga wajar dibenarkan untuk memilih untuk menggunakan fungsi-fungsi yang ditawarkan media sosial terhadap pengguna media sosial yang kesat terhadap mereka. Ada beza di antara niat untuk berkomunikasi dan niat untuk mengganggu atau dalam bahasa media sosial, trolling.

Media sosial tidak perlu menjadi suatu pengalaman yang menyakitkan atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan-tujuan yang tidak diingini. Jadi, jangan takut untuk menggunakan fungsi block di dalam media sosial. Percayalah, hidup anda akan lebih tenteram dengannya.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur