DILAPORKAN bahawa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Mathhias Chang telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma kerana disiasat di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan.

Kemudian, dilaporkan juga kedua-dua mereka telah didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Seksyen 124K adalah kesalahan ‘sabotaj’ manakala 124L adalah percubaan untuk melakukan sabotaj. ‘Sabotaj’ ditakrifkan, antara lain, sebagai apa tindakan yang diniatkan untuk membawa kemudaratan kepada perkhidmatan penting.

Perlu ditekankan bahawa Sosma bukanlah undang-undang yang memperuntukkan kesalahan. Seseorang itu tidak didakwa melakukan kesalahan di bawah Sosma. Sosma adalah undang-undang yang memperuntukkan prosedur, kaedah keterangan dan kuasa pihak berkuasa apabila ia berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai ‘kesalahan keselamatan’.

‘Kesalahan keselamatan’ mengikut Sosma termasuklah kesalahan-kesalahan di bawah Bahagian VI Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan-kesalahan terhadap negara. Antara kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah bahagian ini termasuklah 124L dan 12N Kanun Keseksaan.

Apabila seseorang itu disiasat di bawah kesalahan-kesalahan ini, Sosma akan diguna pakai. Sosma, antara lain, memperuntukkan bahawa sesiapa yang didakwa di bawah suatu kesalahan keselamatan seperti Seksyen 124L, orang tersebut tidak boleh diikat jamin. Dia harus direman sehingga keputusan mahkamah.

Di bawah Sosma terdapat prosedur dan kaedah-kaedah keterangan yang berbeza jika dibandingkan dengan bicara jenayah yang biasa.

Semasa Sosma dan Seksyen 124K dan 124L dibentangkan di Parlimen pada 2012, Bar Malaysia dan masyarakat madani membangkitkan kebimbangan berkenaan dengan rang undang-undang tersebut.

Walaupun ia dipakej sebagai undang-undang menentang terrorisme, kesalahan-kesalahan seperti Seksyen 124B melangkaui kesalahan-kesalahan berkenaan dengan terrorisme. Bar Malaysia, pada ketika itu telah menyuarakan pendirian bahawa kesalahan ini mungkin digunakan untuk menyekat penentangan dan perbezaan pendapat. Sekiranya perlu digubal undang-undang, ia hanya terhad kepada kegiatan-kegiatan yang melibatkan keganasan sahaja.

Tetapi Parlimen pada ketika itu tetap meluluskan Sosma dan undang-undang lain. Kerajaan memberi jaminan bahawa tidak seperti ISA, Sosma dan undang-undang lain tidak akan disalahgunakan oleh kerajaan bagi tujuan politik dan yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

Jaminan yang sama diberikan semasa Akta Pencegahan Keganasan atau Pota dibentangkan di Parlimen awal tahun ini.

Malangnya, selepas tiga tahun Sosma digubal, kita telah melihat bagaimana Sosma telah digunakan terhadap dua orang atas sebab-sebab yang menimbulkan begitu banyak persoalan. Menurut pertuduhan, keduanya telah ‘cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara’ di beberapa lokasi di seluruh dunia. Pertuduhan ini merujuk kepada laporan yang difailkan terhadap syarikat 1MDB yang dibuat oleh Datuk Seri Khairuddin dan ditemani oleh Mathhias Chang sebagai peguamnya.

Bagaimana laporan-laporan ini boleh menjurus kepada memudaratkan terhadap perkhidmatan tersebut, walhal ia adalah berkenaan dengan sebuah syarikat? Membuat aduan terhadap entiti korporat tidak boleh disamakan dengan sesuatu kesalahan terhadap negara.

Inilah masalahnya apabila undang-undang digubal yang memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa, tanpa perlindungan-perlindungan yang mencukupi. Ia boleh disalahgunakan. Kita pernah lihat dengan ISA, kini kita lihat pula dengan Sosma.

Pada masa hadapan, adakah kita juga akan lihat perkara sama dengan Pota?

Semasa Sosma diluluskan, kebimbangan Bar Malaysia dan masyarakat madani tidak diendahkan. Dikatakan bahawa kami pro-pembangkang, tidak menyokong usaha untuk memerangi terrorisme dan tidak memikirkan keselamatan negara.

Nampaknya kini ada ahli parlimen yang sedar betapa undang-undang seperti Sosma dan lain-lain boleh disalah guna. Walaupun ada antara mereka yang sendiri telah mengundi di Parlimen untuk luluskan undang-undang tersebut. Lambat tidak mengapa.

Asalkan sedar akhirnya.

Diharapkan pada masa hadapan, sebelum ahli parlimen luluskan undang-undang yang beri kuasa luas kepada pihak berkuasa, mereka ingat apa yang berlaku dengan Sosma.


* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur