TEMPOH hari, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah diwawancara oleh sebuah portal berita tempatan. Dalam wawancara tersebut, Perdana Menteri telah, antara lain, mengatakan bahawa kerajaan masih memerlukan Akta Rahsia Rasmi (OSA), walaupun mengakui bahawa akta tersebut telah disalahgunakan.

"Undang-undang tidak sempurna, ia terbuka kepada penyalahgunaan, tetapi anda berharap untuk mencari orang yang tidak melanggar undang-undang, yang akan mematuhi undang-undang. Itulah yang penting… Kerajaan terdahulu tidak mematuhi undang-undang. Mereka melakukan apa yang mereka suka dengan undang-undang... Perkara utama adalah untuk memilih kerajaan yang tidak akan melanggar undang-undang," kata Perdana Menteri.

Penulis berharap ini bukanlah keputusan akhir Kabinet. Penulis berharap ini hanyalah pandangan Perdana Menteri, dan kerajaan masih komited untuk sekurang-kurangnya menyemak semula OSA tersebut, seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

Ini kerana, OSA adalah akta yang sudah lapuk dan tidak diperlukan lagi pada masa ini.

Menurut OSA, ‘rahsia rasmi’ termasuklah dokumen-dokumen serta rekod keputusan dan perbincangan Kabinet dan Majlis Mesyuarat Negeri (Exco).

Sesiapa yang menyiarkan rahsia rasmi melakukan kesalahan di bawah OSA. Seseorang yang menerima apa-apa rahsia rasmi melakukan kesalahan sekiranya orang itu memiliki atau mengawal apa-apa rahsia rasmi jika orang itu tidak mempunyai hak untuk menyimpannya.

Di samping itu, ia juga merupakan suatu kesalahan sekiranya orang itu secara terus atau tidak, memberi maklumat bawah OSA kepada orang lain, melainkan orang yang memberi maklumat itu telah diberikan kuasa atau merupakan tanggungjawabnya untuk menyampaikan maklumat itu.

Dokumen berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa juga secara automatik dikelaskan sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah OSA.

OSA juga memberi kuasa kepada menteri, menteri besar atau ketua menteri, dan juga kepada mana-mana penjawat awam yang dilantik oleh menteri, menteri besar atau ketua menteri untuk mengelaskan apa-apa maklumat atau bahan sebagai ‘Rahsa’, ‘Terhad’ atau ‘Sulit’, yang kemudian akan menjadikan maklumat atau bahan tersebut sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah OSA.

Oleh itu, kuasa untuk mengelaskan maklumat atau bahan sebagai rahsia rasmi diberikan dengan luas. Ini juga bermaksud bahawa banyak dokumen yang telah dikelaskan sebagai rahsia rasmi.

Akta tersebut tidak mensyaratkan bahawa menteri, menteri besar, ketua menteri atau penjawat awam yang berkenaan untuk memberi justifikasi mengapa sesuatu maklumat atau bahan itu harus dijadikan rahsia rasmi.

Maknanya, apa-apa jenis maklumat atau bahan boleh dijadikan rahsia rasmi, tidak kira sama ada ia ada keperluan untuk menjadikan ia sebagai rahsia. Maklumat tersebut tidak perlu berhubung dengan keselamatan awam atau pertahanan, contohnya.

Ini juga bermakna OSA ini boleh digunakan untuk menutup atau menyorok kecuaian, salah tadbir, salah laku atau pun kesalahan dalam kerajaan tanpa perlu ada apa-apa justifikasi diberikan.

Jika ada yang tidak kena, cara yang mudah untuk merahsiakannya adalah dengan menggunakan OSA.

Undang-undang lapuk seperti OSA tidak patut ada lagi dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Dalam era Malaysia Baharu, kita mahu wujudkan kerajaan yang terbuka dan telus, dan bukanya yang bertindak tanpa pengetahuan rakyat.  

Negara-negara lain telah gubal undang-undang kebebasan maklumat untuk menggantikan undang-undang seperti OSA.

Di Malaysia, negeri Selangor dan Pulau Pinang sudah pun menggubal enakmen kebebasan maklumat. Kerajaan Persekutuan boleh mempelajari daripada kedua-dua negeri ini dalam melaksanakan kebebasan maklumat.

Apa-apa undang-undang yang baharu harus mendukung prinsip keterbukaan dan kebertanggungjawaban.  Dengan cara ini, kita boleh memastikan bahawa undang-undang itu tidak akan disalahgunakan oleh mana-mana kerajaan pada masa hadapan.

*Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur