SUATU  Rang Undang-undang (RUU) telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum ini yang dikenali sebagai RUU Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengikut proses biasa, suatu RUU selepas diluluskan oleh Parlimen akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Ini menurut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

RUU tersebut harus mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam masa 30 hari dari tarikh ia dikemukakan.

Tetapi, RUU MKN ini adalah luar biasa kerana ia menjadi akta walaupun tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan, jika sesuatu RUU tidak diperkenankan oleh YDPA dalam masa 30 hari dari tarikh RUU tersebut dikemukakan, maka RUU seolah-olah diperkenankan oleh YDPA dan menjadi akta, secara ‘automatik’.

Ini boleh ditafsirkan bahawa YDPA tidak bersetuju dengan Akta MKN ini. Malahan, Majlis Raja-Raja sebelum ini menyatakan bahawa beberapa peruntukan dalam RUU tersebut harus diperhalusi.

Selepas Majlis Raja-Raja membuat pengumuman sedemikian, Peguam Negara sendiri menyatakan bahawa beberapa peruntukan RUU MKN ini akan dikaji semula. Namun, seperti yang disahkan oleh peguam negara sendiri melalui laporan media, tidak ada pindaan yang dibuat kepada RUU MKN yang menjadi akta ini.

Kita tidak tahu apakah sebab YDPA dan Majlis Raja-Raja berbuat sedemikian. Tetapi apa yang kita tahu, banyak pihak telah mengkritik undang-undang ini.

Akta ini secara natijahnya memberikan kuasa-kuasa darurat kepada pihak Kerajaan Malaysia tanpa memerlukan Yang di-Pertuan Agong membuat suatu pengisytiharan darurat.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat sekiranya berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

Akta MKN ini adalah suatu pengambilan kuasa yang dikhaskan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diberikan kepada MKN, yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Siapakah ahli-ahli Majlis Keselamatan Negara? Selain daripada perdana menteri, ia terdiri daripada timbalan perdana menteri, menteri pertahanan, menteri dalam negeri, menteri komunikasi dan multimedia, ketua setiausaha negara, panglima angkatan tentera dan ketua polis negara.

Akta MKN memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan suatu ‘kawasan keselamatan’ sekiranya dinasihati oleh MKN bahawa mana-mana kawasan di Malaysia ‘diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana orang, perkara, atau benda yang menyebabkan atau berkemungkinan untuk menyebabkan bahaya yang serius kepada wilayah, ekonomi, infrastruktur utama negara atau apa-apa kepentingan Malaysia yang lain dan menghendaki tindak balas serta-merta’.

Pengisytiharan kawasan keselamatan ini berkuat kuasa untuk tempoh enam bulan dan boleh diperbaharui untuk enam bulan lagi dan pembaharuan ini boleh dibuat tanpa had.

MKN mempunyai kuasa untuk membuat perintah eksekutif untuk mengatur kedudukan pasukan keselamatan (seperti polis dan tentera) di dalam kawasan tersebut. Seorang pengarah operasi yang dilantik oleh MKN dan bertanggungjawab hanya kepada MKN akan dilantik dan beliau mempunyai kuasa yang luas dan tidak terhad seperti kuasa menahan masuk orang, memerintahkan perintah berkurung dan mengawal pergerakan orang atau kenderaan.

Di samping itu, di dalam suatu kawasan keselamatan, pihak berkuasa juga punya kuasa untuk menangkap tanpa waran, memeriksa dan menyita tanpa waran, menggeledah premis untuk benda berbahaya dan mengambil milikan sementara tanah, bangunan dan harta mudah alih.

Jelas bahawa kerajaan mempunyai kuasa-kuasa yang luas dan yang akan menjejaskan kebebasan asasi individu-individu di dalam kawasan tersebut.

Persoalannya, adakah kerajaan begitu terdesak untuk mendapat kuasa di bawah akta ini sehingga membelakangi kekhuatiran pelbagai pihak mengenai kuasa yang diperuntukkan?

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur