DILAPORKAN baru-baru ini cadangan seorang ahli akademik supaya kanak-kanak Malaysia disyaratkan untuk mempelajari Bahasa Melayu sebelum mereka diberikan kad pengenalan biru seorang warganegara.

Kanak-kanak yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu akan diberikan kad pengenalan merah sehingga mereka boleh berbuat demikian.

Cadangan ini adalah retorik terbaru yang sering dibangkitkan mengenai kerakyatan. Sebelum ini, ada pihak yang mahukan kerakyatan beberapa individu dilucutkan kerana kononnya individu-individu itu membelot atau derhaka.

Selalunya, tuntutan seperti ini dibuat terhadap mereka yang menentang kerajaan.

Tindakan mempersoalkan atau menuntut perlucutan kewarganegaraan ini timbul akibat anggapan yang salah bahawa sesetengah rakyat Malaysia adalah warganegara atas hak mereka sejak lahir sebagai Peribumi, manakala rakyat lain pula dianugerahkan kerakyatan oleh golongan Peribumi.

Tetapi sebenarnya, yang menentukan tentang kewarganegaraan adalah apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan berkenaan dengan kewarganegaraan terkandung dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

Secara amnya, terdapat dua jenis kewarganegaraan. Yang pertama adalah mereka yang menjadi warganegara kerana kuat kuasa undang-undang.

Golongan ini menjadi warganegara secara automatik apabila mereka lahir, tanpa perlu mendapatkan kewarganegaraan melalui proses formal.

Contohnya, mereka yang lahir di dalam negara di mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu atau bapa mereka adalah rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.  

Golongan warganegara kedua adalah mereka yang menjadi rakyat Malaysia melalui proses formal, sama ada melalui pendaftaran atau naturalisasi. Mereka tidak lahir sebagai warganegara.

Bagi warganegara golongan pertama, kewarganegaraan mereka tidak boleh dilucutkan atas sebab belot atau derhaka.

Mereka boleh hilang kewarganegaraan hanya jika  melepaskan kewarganegaraan mereka, mendapat kerakyatan negara lain atau melakukan sesuatu yang dikhaskan untuk rakyat sesuatu negara lain.

Maka apa-apa cadangan untuk mengenakan syarat seperti bertutur dalam bahasa Melayu ke atas rakyat Malaysia akan melanggar hak mereka sebagai warganegara Malaysia.

Untuk golongan yang kedua, kewarganegaraan mereka boleh ditarik balik oleh kerajaan sekiranya mereka dibuktikan tidak setia atau keadaan-keadaan lain. Namun demikian, ini juga tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya.

Perlu ditekankan di sini bahawa kaum, ras atau bangsa tidak ada kena-mengena dengan bagaimana anda menjadi seorang warganegara Malaysia.

Jelas bahawa untuk sebahagian besar rakyat Malaysia, tidak kira bangsa atau agama, kewarganegaraan mereka dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Status mereka sebagai warganegara Malaysia tidak wajar dipersoalkan.

Apa-apa percubaan untuk menggunakan sentimen perkauman untuk membezakan atau mengasingkan rakyat akan melanggar realiti yang termaktub dalam Perlembagaan; yakni untuk ramai orang, kewarganegaraan itu adalah hak dan bukannya anugerah daripada kerajaan.

Retorik mengenai kerakyatan harus dihentikan. Tidak ada seorang pun mempunyai hak yang lebih besar ke atas kewarganegaraan berbanding dengan orang lain yang juga rakyat negara ini.

Benar, nenek moyang kita ada yang asalnya dari negara ini, ada yang datang ke negara ini mencari kehidupan baharu.

Kita tidak boleh lupakan sejarah. Tetapi apa yang pasti adalah sejarah tidak harus dijadikan alasan untuk memisahkan kita, membezakan kita dengan garis pemisah kononnya ada yang lebih berhak di dalam negara ini.

Kita semua mempunyai kepentingan yang sama rata dan hak untuk bersuara tentang perkara-perkara di dalam negara ini. Kita semua punya ruang di bawah mentari yang menyinari bumi bertuah ini.