MINGGU lepas, Parlimen Malaysia yang ke-14 telah mula bersidang. Ia adalah suatu peristiwa yang cukup bersejarah, selepas Pilihan Raya Umum yang menyaksikan pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah di peringkat Persekutuan, menggantikan Kerajaan Barisan Nasional yang telah berkuasa selama 60 tahun.

Besar harapan rakyat dengan Parlimen yang baharu ini. Pakatan Harapan memenangi kerusi terbanyak di peringkat persekutuan dengan janji bahawa mereka akan membawa suatu Malaysia baharu yang lebih baik.

Dalam manifesto Pakatan Harapan, mereka telah menjanjikan pelbagai reformasi perundangan dan institusi. Mereka kini telah membentuk kerajaan, dan mesti membuktikan kepada bahawa kerajaan ini komited pada reformasi yang dijanjikan.

Rakyat tidak mahu melihat rang undang-undang baharu diredah sahaja oleh kerajaan kerana mereka mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat.

Amalan Kerajaan Barisan Nasional yang memaksa undang-undang digubal tanpa dibahaskan dengan teliti dan menyeluruh tidak patut dipraktikkan dalam Parlimen kali ini.

Ahli Parlimen bertanggungjawab untuk menyemak dan mengimbang kerajaan, dan untuk ini kerajaan harus menghormati peranan ahli-ahli Parlimen, termasuklah ahli Parlimen pembangkang.

Perkara yang dibangkitkan minggu lepas oleh ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, tentang ketiadaan menteri dan timbalan menteri dalam Dewan  semasa  Ketua Pembang- kang berucap diharapkan tidak berulang lagi.

Sebelum ini, Dewan Rakyat lebih dikenali dengan pertandingan jerit-menjerit dan maki hamun di antara ahli-ahli, dan bukannya dengan kualiti perbahasan mereka.

Ini mesti berubah. Apa yang kita lihat minggu lepas belum lagi membuktikan kepada kita terdapatnya peningkatan dalam kualiti perbahasan, tetapi masih belum terlambat untuk ahli-ahli Dewan memperbaiki aspek ini.

Timbalan Speaker, Nga Kor Ming telah memberi peringatan kepada wakil rakyat yang bersidang dengan mengajukan tiga soalan-soalan kepada mereka:

“Pertama, adakah apa yang dikatakan YB dalam Dewan ini benar-benar membawa kebaikan kepada rakyat dan negara kita atau sekadar menjadi jaguh tetapi tidak berisi?”

“Kedua, adakah rakyat di kawasan yang diwakili oleh YB akan berasa bangga dengan hujah, ucapan atau tingkah laku yang berhormat dalam Dewan yang mulia ini, atau sebaliknya akan berasa malu dengan kelakuan YB?”

“Ketiga, adakah hujah YB benar-benar berasaskan kepada fakta dan statistik atau hanya merupakan retorik kosong sahaja?”

Adalah diharapkan bahawa ahli-ahli Dewan Rakyat dapat menghayati persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh Nga Kor Ming tersebut setiap kali mereka ingin bersuara di dalam Parlimen.

Ahli-ahli yang baharu mesti memulakan budaya baharu yang saling menghormati dan matang dalam berbahas, manakala ahli-ahli yang lebih senior pula menunjukkan contoh yang baik dengan perbahasan yang berkualiti.

Kita selalu melihat kepada negara-negara lain sebagai teladan dalam soal prosiding Parlimen. Tetapi ahli-ahli Parlimen kita kini mempunyai peluang untuk mengubah Parlimen kita menjadi suatu institusi berkelas dunia yang dihormati semua.

Untuk merealisasikan impian ini, kita letakkan harapan yang begitu tinggi pada 222 ahli Dewan Rakyat yang kita pilih tempoh hari.