TRAGEDI yang menimpa 23 orang - murid dan guru sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat akibat kebakaran telah mengejutkan rakyat Malaysia.

Menurut laporan dan sidang media pihak polis sebelum ini, kebakaran di sekolah tahfiz tersebut adalah suatu perbuatan yang disengajakan.

Setakat ini, dua orang yang berumur 16 tahun telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, butiran dan gambar-gambar suspek-suspek dalam kes ini telah pun ditularkan di WhatsApp dan media sosial lain.

Walau apa pun perasaan kita tentang tragedi tersebut, kita harus sentiasa ingat bahawa pada peringkat ini pertuduhan masih belum dibuktikan. Dua orang itu baru sahaja didakwa di mahkamah. Mereka masih belum disabitkan dengan apa-apa kesalahan lagi. Apatah lagi apabila mereka berdua masih kanak-kanak.

Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan hak-hak seseorang pesalah atau suspek kanak-kanak dan prosedur yang perlu dipatuhi apabila seorang kanak-kanak ditahan, disiasat, didakwa serta akhirnya disabitkan dengan pertuduhan jenayah.

Menurut akta tersebut, seorang kanak-kanak, yakni individu yang berumur bawah 18 tahun, tidak boleh ditangkap, ditahan atau dibicarakan melainkan mengikut akta tersebut.

Apabila seorang kanak-kanak dituduh di mahkamah, kanak-kanak itu biasanya akan dibicarakan di mahkamah kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak itu dituduh bersama dengan orang dewasa, kes tersebut boleh dibicarakan di mahkamah biasa, tetapi mahkamah itu mempunyai kuasa seperti mahkamah kanak-kanak.

Mahkamah kanak-kanak terdiri daripada seorang majistret yang dibantu oleh dua orang penasihat, yang mana salah seorangnya ialah wanita.

Mahkamah ini punya bidang kuasa untuk membicarakan kesemua kes jenayah, kecuali kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman mati. Penulis jangkakan bahawa dua orang kanak-kanak yang telah dituduh sebelum ini akan dipindahkan kesnya ke mahkamah tinggi untuk dibicarakan nanti.

Terdapat juga perlindungan tambahan bagi seorang pesalah kanak-kanak selepas disabitkan dengan kesalahan pada akhir kes. Mahkamah kanak-kanak harus mempertimbangkan laporan akhlak sebelum mengenakan hukuman.

Kemudian, hukuman yang boleh dikenakan ke atas seorang kanak-kanak juga berlainan dengan seorang dewasa. Contohnya, mahkamah kanak-kanak boleh perintahkan seorang kanak-kanak itu dihantar ke sekolah diluluskan atau sekolah Henry Gurney, menjalankan khidmat masyarakat, mengenakan perintah percubaan dan lain-lain. Mahkamah boleh juga memenjarakan pesalah kanak-kanak, tetapi hanya sekiranya perintah sekolah diluluskan atau Henry Gurney tidak lagi sesuai.

Bagi dua kanak-kanak tersebut, walaupun kesalahan bunuh membawa hukuman mati, oleh kerana mereka kanak-kanak, mereka tidak boleh dijatuhkan hukuman tersebut.

Jadi sekiranya mereka didapati bersalah, hukuman yang dikenakan adalah perintah pemenjaraan selama mana yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ada yang mahukan suspek dalam kes bakar tahfiz itu dibicarakan dan dihukum seperti orang dewasa. Ini tidak akan menyelesaikan masalah jenayah dalam kalangan remaja yang seperti makin menjadi-jadi.

Penyelesaiannya bukan mengenakan hukuman yang lagi berat, tetapi cuba mencari punca mengapa remaja terjebak dengan jenayah.

Dalam sebuah masyarakat, individu mempunyai tanggungjawab untuk melindungi mereka yang paling lemah. Kanak-kanak sudah tentu tergolong dalam kategori tersebut.

Sebab itu Parlimen telah menggubal akta kanak-kanak, di samping memenuhi obligasi negara di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak.

Kita mungkin sudah membuat keputusan tentang kebersalahan kanak-kanak dalam kes kebakaran tahfiz itu.

Tetapi dalam apa jua keadaan sekalipun, proses undang-undang mesti terus berjalan dan sistem keadilan kita harus memastikan hak kanak-kanak tersebut tidak dinafikan.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur