ADAKAH anda tahu hak asasi anda sebagai rakyat Malaysia?

Bahagian II Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan hak-hak asas ini. 

Perkara 5 Perlembagaan memperuntukkan hak untuk hidup dan kebebasan diri. Hak untuk hidup dan kebebasan diri ini tidak boleh dilucutkan daripada seseorang melainkan menurut undang-undang. 

Hak untuk hidup itu tidak terhad kepada hak untuk bernyawa, ia juga termasuk hak untuk sara diri dan hak untuk kehidupan yang berkualiti. Kebebasan diri pula termasuk hak seperti hak untuk privasi. 

Perkara 6 adalah perlindungan daripada keabdian dan kerja paksa, yakni tidak ada sesiapa boleh dijadikan hamba abdi atau dipaksa kerja. 

Perkara 7 adalah hak untuk dilindungi daripada undang-undang jenayah retrospektif dan perbicaraan berulang semula. Ini bermakna seseorang itu tidak boleh dibicarakan semula untuk kesalahan yang sama sekiranya orang itu telah dilepaskan dan dibebaskan atau disabit dengan kesalahan. 

Perkara 8 pula menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata. Perkara ini juga menghalang apa-apa jenis diskriminasi atas dasar agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina, melainkan dibenarkan secara khusus oleh Perlembagaan sendiri. 

Perkara 9 secara amnya menjamin kebebasan untuk bergerak dengan bebas dalam negara. Seseorang rakyat tidak boleh disekat atau dikecualikan atau dibuang negeri, dan boleh bergerak dengan bebas melalui sempadan negeri. 

Namun demikian, Sabah dan Sarawak yang mempunyai kedudukan istimewa berbanding negeri-negeri lain, mempunyai kuasa untuk menghalang kemasukan ke dalam negeri-negeri mereka. 

Perkara 10 ada 3 bahagian penting. Pertama adalah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Kedua adalah kebebasan untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Ketiga adalah hak untuk membentuk persatuan. 

Akan tetapi, Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk menyekat hak-hak ini untuk tujuan-tujuan khusus, seperti ketenteraman awam atau keselamatan negara. 

Perkara 11 pula menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk melafazkan dan mengamalkan agama mereka. Hak ini juga termasuk untuk menyebarkan agama mereka, namun negeri-negeri boleh menggubal undang-undang untuk mengawal atau menyekat penyebaran apa-apa agama dalam kalangan orang Islam.

Perkara 12 memperuntukkan hak berkenaan dengan pendidikan. Ia menyatakan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana rakyat dalam pendidikan.

Akhir sekali, Perkara 13 adalah hak untuk memiliki harta benda dan menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh dilucutkan haknya ke atas harta benda melainkan mengikut undang-undang. Di samping itu, jika terdapat undang-undang yang membolehkan harta benda diambil secara paksa untuk tujuan umum, ia harus memberikan pampasan yang mencukupi.

 Kita boleh terus hidup di Malaysia tanpa langsung mengetahui atau memahami hak-hak kita. Tidak ada undang-undang yang mewajibkan kita untuk mengetahui hak-hak kita. 

Tetapi bayangkan jika anda membeli set televisyen baharu yang dilengkapi dengan teknologi paling canggih dan terbaharu. Anda boleh keluarkan ia dari kotak, pasang dan terus menonton televisyen. Anda tidak perlu membaca buku panduan untuk televisyen tersebut untuk menggunakan fungsi asas yang sedia ada. 

Tetapi jika anda betul-betul mahu mendapat manfaat, anda harus membaca buku panduan. Barulah kita tahu kesemua fungsi yang ada, dan sekiranya terdapat masalah kita tahu apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikannya. 

Samalah juga dengan hak-hak kita. Jika kita tidak mengetahui atau memahaminya, maka apabila ia dilucutkan atau disekat, kita tidak tahu kita ada hak tersebut, ataupun kita tidak tahu kita boleh dapatkan pembelaan untuk hak tersebut.