SEBELUM datangnya internet, maklumat dikawal oleh kerajaan. Pemerintah boleh menentukan maklumat apa yang diterima umum. Selepas datangnya internet, monopoli pemerintah ke atas maklumat semakin lama semakin terhakis.

Perakyatan maklumat ini bermakna bahawa pada masa ini, kerajaan hanyalah salah suatu saudagar dalam pasaran maklumat dan terpaksa bertanding dengan saudagar-saudagar lain.

Perkembangan paling penting dalam perakyatan maklumat ini adalah dengan adanya media sosial - telah berjaya memperkasakan rakyat, seakan-akan seperti baru sedar bahawa mereka mempunyai hak dan boleh mengamalkan hak tersebut. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat diraikan di media sosial.

Tetapi media sosial juga terdapat keburukan. Ia boleh menjadi tempat di mana maklumat palsu disebarkan, di mana hinaan dan kutukan dilontar dan di mana macam-macam gangguan boleh berlaku.

Media sosial boleh membawa seribu satu kemudaratan dan oleh kerana media sosial itu begitu mudah digunakan dan begitu luas penggunaannya, maka media sosial boleh membawa mudarat yang cukup besar.

Cabaran paling besar berkenaan dengan media sosial boleh dirumuskan sedemikian; bagaimana kita boleh mengimbangi kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat dengan had ke atas kebebasan-kebebasan tersebut.

Cabaran ini bukanlah sesuatu yang mudah ditangani, apatah lagi jika diambil kira bahawa media sosial sentiasa berubah dan berkembang.

Malangnya, tindak balas pemerintah dalam menangani cabaran ini tidak berkadar, atau disproportionate dengan masalah yang ingin ditangani.

Pemerintah bertindak untuk menutup ruang-ruang demokratik yang sebelum ini terbuka dan ini telah sedikit sebanyak mewujudkan chilling effect atau kesan ketakutan ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan kerana kesan buruk media sosial, kebebasan disekat semberono. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan hak ini boleh disekat hanya sekiranya dibenarkan oleh Perlembagaan itu sendiri.

Maka pendekatan kita dalam menghadapi cabaran media sosial mestilah menjurus kepada mendukung kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Undang-undang hanya wajar diguna pakai dalam keadaan-keadaan yang istimewa.

Sekatan yang dikenakan mestilah munasabah dan berkadar. Ia mesti ditentukan dengan tepat dan jelas tanpa ruang untuk mengaplikasikan sekatan tersebut secara arbitari dan terpilih.

Had kebebasan bersuara tidak wajar diletakkan pada tahap yang terlalu rendah. Undang-undang tidak wajar digunakan setiap kali ada orang berasa tersinggung dengan kata-kata orang lain. Dalam keadaan tersebut, kerajaan tidak perlu melibatkan diri.

Ya, memang kita marah apabila kita lihat agama, bangsa atau agama kita dihina. Tetapi itu tidak cukup untuk mewajarkan tindakan diambil ke atas mereka yang menghina.

Ini kerana tahap toleransi kita berbeza, bergantung pada individu. Perkara yang menyinggung sensitiviti seseorang mungkin tidak menyinggung sensitiviti orang lain.

Amalan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat hanya wajar diambil tindakan sekiranya ia mengancam kemudaratan fizikal ke atas individu atau harta benda. Ini memastikan bahawa had kebebasan bersuara tidak hanya menjadi suatu hak ilusi dan tidak berkesan.

Kita harus sedar bahawa masyarakat kita sebenarnya semakin matang. Media sosial merupakan suatu elemen penting dalam perkembangan masyarakat kita.

Amalan demokrasi yang kita dukung dan proses pematangan masyarakat ini bergantung kepada ruang-ruang bebas dan demokratik yang sedia ada.

Untuk menyekat kebebasan hanya kerana kemudaratan yang boleh dibawa oleh media sosial akan mengakibatkan terbantutnya pertumbuhan masyarakat dan negara kita.

*Penulis ialah seorang peguam yang mengamal undang-undang