BARU-BARU ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah melepaskan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan dua orang lain, daripada tahanan reman yang dikeluarkan oleh majistret sebelum itu. Mereka bertiga telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pesuruhjaya Kehakiman Abdul Wahab Mohamed mendapati, bahawa perintah reman tersebut telah melanggar Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah apabila peguam yang mewakili Boon Poh dan yang lain tidak dibenarkan untuk berhujah di hadapan majistret semasa pendengaran reman. Oleh itu, Pesuruhjaya Kehakiman itu telah memutuskan bahawa mereka telah dinafikan keadilan untuk didengar sebelum direman.

Sekiranya benar peguam mereka tidak dibenarkan berhujah, maka keputusan majistret dalam kes ini merupakan suatu penafian hak mereka untuk diwakili peguam.

Hak ini termaktub dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, seseorang yang ditahan haruslah dimaklumkan sebab-sebab penahanannya dan dibenarkan untuk berunding dan dibela oleh seorang peguam pilihannya.

Kanun Acara Jenayah juga memperuntukkan, bahawa seseorang yang ditahan mesti dimaklumkan tentang haknya untuk berunding dengan peguam dan dibenarkan untuk berunding dengan peguamnya.

Di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengeluarkan Peraturan Piawai Minimum bagi Layanan Orang yang Dikurung (Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners), di mana seseorang yang dipenjarakan itu harus dibenarkan berunding dengan peguam dan diberikan bantuan guaman sekiranya ada.

Sementara itu, Badan Prinsip untuk Perlindungan Semua Orang yang Ditahan atau Dipenjarakan dalam pelbagai bentuk (the Body of Principles for the Protection of All Persons under Any Form of Detention or Imprisonment) menyatakan bahawa seseorang yang ditahan mesti dibenarkan berhubung dan berunding dengan peguamnya dan dibenarkan masa dan kemudahan untuk rundingan dengan peguam tersebut.

Untuk prosiding reman pula, Kanun Acara Jenayah jelas menyatakan bahawa majistret dalam menentukan tempoh reman mesti membenarkan representasi daripada orang yang ditahan itu sendiri, atau melalui peguamnya.

Jelas bahawa hak untuk diwakili peguam adalah sesuatu hak yang penting. Ia adalah sebahagian daripada jurisprudens keadilan hakiki (natural justice), termasuklah hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Dalam prosiding mahkamah, kedua-dua pihak harus diberikan peluang untuk didengari dan peluang untuk mengutarakan kes terbaiknya di mahkamah. Ia menjadi lebih penting dalam prosiding jenayah, di mana sekiranya seseorang itu dinafikan haknya untuk bersedia menghadapi jentera daulah yang membawa pertuduhan terhadapnya, maka ia merupakan suatu pelanggaran keadilan hakiki (natural justice) yang jelas.

Sudah tentu, kita harus memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan lengkap tanpa halangan. Tetapi ia mestilah mengikut peraturan yang ada dan tidak boleh dengan menafikan hak individu untuk mendapat perwakilan guaman.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam kes Boon Poh amatlah dialu-alukan, kerana ia mendukung prinsip yang penting ini.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur