ANDA mungkin sekali ada membaca berita tentang larangan ke atas pakaian ‘burkini’ di sesetengah bandar di Perancis.

‘Burkini’ adalah sejenis pakaian renang yang menutup keseluruhan badan pemakai kecuali muka, tangan dan kaki. Rekaan burkini ini bertujuan untuk menepati keperluan seseorang wanita Muslim yang inginkan pakaian yang ringan untuk berenang, tetapi pada masa sama mempunyai ciri-ciri busana Islamik.

Kontroversi tentang larangan ke atas pemakaian burkini ini tercetus apabila bandar Cannes, sebuah bandar yang terletak di Perancis, mengharamkan pemakaian burkini atas alasan kononnya terdapat hubung kait di antara pakaian tersebut dan ‘ekstremisme’. Pengharaman burkini ini kemudian dikenakan pula di bandar-bandar lain.

Ramai wanita yang memakai burkini telah dikenakan denda. Kononnya, mereka tidak ‘menghormati moral dan sekularisme’ yang menjadi tonggak negara Perancis. Datuk Bandar Nice mendakwa bahawa memakai burkini itu suatu langkah ‘provokasi yang tidak dapat diterima’.  Ada wanita yang dipaksa membuka burkini mereka di khalayak ramai dan larangan ini ada juga dipanjangkan kepada pakaian-pakaian lain yang dikenal pasti sebagai busana Muslim.

Pengharaman burkini ini dikritik oleh banyak pihak. Dakwaan bahawa kononnya burkini ada hubungan dengan ekstremisme, merupakan provokasi melampau dan bertentangan dengan prinsip sekularisme Perancis langsung tidak mempunyai asas. Lebih penting lagi, pengharaman burkini ini merupakan suatu pelanggaran hak asasi manusia, wanita-wanita yang ingin memakai pakaian tersebut.

Memang tidak dinafikan bahawa dari segi undang-undang, larangan tersebut adalah dalam bidang kuasa mereka yang mengenakan larangan. Dari aspek itu, boleh dihujahkan sah di sisi undang-undang.

Namun demikian, hak asasi manusia sewajarnya melangkaui undang-undang. Hak-hak asasi seseorang manusia itu tidak boleh dinafikan walaupun dengan undang-undang. Hak asasi manusia termaktub dan terjamin ke atas semua manusia, tidak kira di mana. Ia memastikan kehendak majoriti tidak mencabuli hak-hak minoriti, walaupun dibenarkan oleh undang-undang.

Pemakai burkini mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat dan bersuara, iaitu dengan memakai pakaian yang mereka mahukan. Mereka juga mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka, jika mereka memakai burkini atas sebab agama. Ini hak asasi mereka sebagai manusia dan ia wajar dilindungi.

Samalah juga di Malaysia. Jika ada majlis perbandaran yang mahu menentukan apa yang boleh dipakai, apa yang dikira sebagai ‘sopan’ dan mengenakan denda kepada mereka yang tidak mengikut peraturan pemakaian, mereka harus diukur dengan prinsip yang sama.

Jika kita marah melihat apa yang berlaku di Perancis dan juga larangan membina menara masjid di Switzerland, cadangan Donald Trump untuk mengharamkan orang Islam dan tindakan tentera Israel ke atas warga Palestin, kita juga mesti peka dengan apa di dalam negara kita sendiri.

Namun demikian, ‘hak asasi’ mempunyai stigma yang cukup besar di negara ini. Apabila berkata tentang ‘hak asasi’, ia sering dilabel sebagai sesuatu yang ‘liberal’ dan dikaitkan dengan kebebasan untuk murtad, kebebasan komuniti LBGT dan pluralisme agama, contohnya.

Hujah-hujah yang sama kita guna untuk membenarkan pencabulan hak asasi di negara kita, contohnya ‘tidak sesuai dengan budaya’, ‘bertentangan dengan ciri-ciri majoriti’ dan sebagainya, juga digunakan ke atas wanita Muslim oleh negara-negara lain.

Pengharaman burkini di pekan Villeneuve-Loubet di Perancis telah dicabar atas dasar hak asasi manusia. Mahkamah pentadbiran tertinggi di Perancis telah menggantung pengharaman tersebut. Tetapi, keputusan terakhir sama ada larangan burkini ini melanggar hak asasi manusia masih belum diputuskan lagi. Sekiranya mahkamah mendapati bahawa pengharaman burkini ini bertentangan dengan hak asasi manusia, ia boleh diketepikan.

Adalah diharapkan, mahkamah di Perancis akan mendukung hak asasi manusia wanita Muslim di sana.

*Penulis seorang peguam di sebuah  firma di Kuala Lumpur