MINGGU lepas, penulis telah menonton filem terbaru Rajnikanth yang berjudul Kabali. Pengarahnya ialah Pa Ranjith dan selain daripada superstar Rajnikath, ia dibintangi oleh Radhika Apte, Dhansika, Dinesh Ravi, Kalaiyarasan, John Vijay dan pelakon Taiwan, Winston Chao.

Di samping itu, ia juga dibarisi oleh pelakon-pelakon tempatan seperti Rosyam Nor dan Norman Hakim. Hampir kesemua adegan dalam filem ini difilemkan di Malaysia. Manakan tidak, kerana filem ini mengisahkan seorang warga Malaysia etnik Tamil yang bernama Kabali, yang merupakan seorang ketua gengster.

Ceritanya bermula dengan Kabali yang telah dibebaskan daripada penjara setelah menjalani hukuman selama 25 tahun dan berkisar tentang peperangan gengster di antara Kabali dan musuh-musuhnya.

Apa yang menarik dengan cerita Kabali ini adalah naratif filem berkisar tentang isu-isu yang membelenggu etnik Tamil di Malaysia. Isu-isu seperti gengsterisme dan masalah sosial lain, bagaimana ada segmen etnik Tamil di negara ini yang dipinggirkan oleh pembangunan negara.

Filem ini adalah sebuah filem India, tetapi ceritanya adalah mengenai Malaysia. Dan walaupun terdapat beberapa perkara yang bagi saya kurang tepat mengenai Malaysia yang dipaparkan, secara keseluruhan saya perhatikan cuba sedaya-upaya untuk menjadikan filem ini autentik.  

Contohnya, penggunaan perkataan-perkataan Tamil tempatan yang tidak digunakan di India, pemakaian baju batik oleh beberapa watak di dalam filem ini dan juga pakaian seragam polis yang betul bagi adegan-adegan pada tahun 80-an, semua menunjukkan bahawa pembuat filem Kabali telah membuat kajian mendalam mengenai Malaysia.

Namun demikian, filem Kabali ini tidak bebas daripada kontroversi. Lembaga Penapisan Filem telah memotong beberapa babak daripada versi yang ditayangkan di Malaysia. Di samping itu, pengakhiran cerita ini juga telah ditukar.

Semua ini dilaporkan telah dibuat atas nasihat pihak polis bagi ‘menjaga sensitiviti kaum’ di Malaysia.

Di YouTube, telah pun tersebar babak yang telah dipotong. Ia adalah babak kemuncak filem, pergaduhan di antara Kabali dan musuhnya. Dalam babak itu, musuh Kabali telah menggunakan perkataan ‘keling’ dan menghina orang etnik Tamil.

Penapisan, atau censorship bagi filem-filem yang ditayangkan di Malaysia bukanlah baharu. Sebelum ini, banyak babak yang ditapis adalah babak berkenaan dengan keganasan melampau atau adegan seks.

Lembaga Penapisan Filem telah pun mengeluarkan klasifikasi filem mengikut kesesuaian. Terdapat 3 klasifikasi; U untuk semua lapisan masyarakat, P13 untuk filem di mana penonton berumur di bawah 13 tahun memerlukan pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton dan akhir sekali 18 iaitu untuk penonton yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Sekiranya sesuatu filem itu mempunyai babak yang mungkin menyentuh sensitiviti, contohnya, ia boleh diklasifikasikan sebagai 18. Hanya orang dewasa sahaja yang boleh tonton. Babak yang dipotong daripada filem Kabali sepatutnya dibiarkan sahaja

Penulis tidak fikir suatu babak dalam sebuah filem dapat mencetuskan apa-apa yang tidak diingini. Penulis yakin bahawa warga Malaysia rata-rata matang dan tidak akan bertindak terburu-buru hanya kerana menonton filem.

Apatah lagi dalam dunia moden pada masa ini, di mana maklumat begitu mudah diakses. Walaupun babak kontroversi itu dipotong daripada Kabali, ia masih boleh ditonton melalui saluran YouTube di internet. Jadi dari segi matlamat, penapisan yang dibuat gagal menghalang orang ramai untuk menonton adegan tersebut di luar pawagam.

Bukan semua yang dipaparkan oleh Kabali penulis setuju. Babak yang kontroversi itu pun penulis tidak setuju. Tetapi, sekiranya kita tidak setuju, di dalam sebuah masyarakat yang matang dan negara yang demokratik, perlu dibenarkan pertembungan dan perdebatan idea. Bukannya ditutup terus. Penapisan adalah cara yang makin lama makin ketinggalan.


* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur